
Katanya, reformasi terhadap proses dalaman sudah menunjukkan hasil positif di beberapa agensi termasuk Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal).
“Kita telah berjaya mengurangkan tempoh memproses beberapa permohonan termasuk skrip bagi syarikat antarabangsa dari 30 hari ke tujuh hari. Ini satu pencapaian yang membanggakan bagi pihak Finas,” katanya pada sidang media mingguan.
Beliau berkata, manakala Puspal turut menunjukkan kemajuan ketara antaranya melalui pelancaran Garis Panduan Puspal (GPP) 6.0 April lalu.
“Penambahbaikan itu telah memudahkan proses kelulusan bagi penganjuran konsert serta aktiviti penggambaran melibatkan artis dan syarikat antarabangsa,” katanya.
Fahmi mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar, Kementerian Komunikasi antara tiga kementerian berjaya melaksanakan reformasi kerenah birokrasi dan diberikan sijil khas penghargaan atas kejayaan itu.
Shamsul berkata, Kementerian Komunikasi berjaya meningkatkan kecekapan kelulusan skrip filem asing daripada 30 hari kepada tujuh hari dengan penjimatan kos beban peraturan hingga RM2.4 juta per produksi sekali gus memperkukuh daya saing Malaysia sebagai destinasi pilihan penggambaran antarabangsa.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata ketika ini pihaknya sedang meneliti permohonan lesen dikemukakan bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
“Saya akan minta supaya usaha untuk mengatasi kerenah birokrasi, dipanjangkan dan diperhebat bawah agensi dan badan berkanun lain dalam kementerian,” katanya.