Cuai sebabkan kemalangan maut, penunggang basikal dijel sebulan

Cuai sebabkan kemalangan maut, penunggang basikal dijel sebulan

Tertuduh memohon dihukum penjara kerana tidak mampu membayar denda dan hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan.

seremban court
Mahkamah Majistret Seremban mengarahkan hukuman itu bermula tarikh K Selva Natchathiram ditangkap pada 29 Mei lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Mahkamah Majistret Seremban menjatuhkan hukuman penjara sebulan ke atas seorang lelaki yang mengaku bersalah menunggang basikal secara cuai sehingga menyebabkan kemalangan maut tahun lalu.

Sinar Harian melaporkan Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah mengarahkan hukuman itu bermula tarikh K Selva Natchathiram, 56, ditangkap pada 29 Mei lalu.

Tertuduh didakwa menunggang basikalnya tanpa kecermatan dan perhatian sewajarnya atas jalan raya sehingga menyebabkan kemalangan di depan sebuah pasar raya di Taman Desa Anggerik, Seremban kira-kira 2.55 petang 27 Mac 2024.

Dida didakwa mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang dibaca bersama Seksyen 54(1) akta sama dan boleh dihukum bawah Seksyen 54(2) APJ memperuntukkan denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM5,000 serta boleh dipenjara tidak lebih 12 bulan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon dihukum penjara kerana tidak mampu membayar denda dan hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Timbalan Pendakwa Raya, P Rubini memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada orang ramai.

Mengikut fakta kes, kemalangan berlaku ketika penunggang basikal dari arah Ampangan ke Senawang itu membelok ke simpang kanan, sebelum dilanggar seorang penunggang motosikal Yamaha 135LC dari arah bertentangan.

Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal berusia 28 tahun yang parah di kepala meninggal dunia di lokasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.