Boleh perbaharui My50 melalui eWallet TnG mulai 1 Julai

Boleh perbaharui My50 melalui eWallet TnG mulai 1 Julai

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata pengguna boleh memperbaharui pas tanpa perlu menggunakan kad pengenalan.

my50 tng
Mulai 1 Julai ini pengguna boleh memperbaharui pas My50 melalui eWallet TnG.
KUALA LUMPUR:
Pengguna pengangkutan awam kini boleh membeli dan mengaktifkan pas tanpa had bulanan My50 menerusi aplikasi eWallet TnG mulai 1 Julai.

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, berkata pendigitalan itu membolehkan pengguna memperbaharui pas tanpa perlu menggunakan kad pengenalan.

“Saya yakin selepas ini tiada lagi situasi pelanggan terpaksa beratur lama menerusi pendigitalan My50 ini,” katanya dalam sesi taklimat pengumuman pendigitalan My50 di Stesen KL Sentral.

Beliau berkata, langkah itu seiring aspirasi pendigitalan perkhidmatan pengangkutan awam negara dan menyokong agenda negara ke arah penggunaan tanpa tunai.

Mengulas lanjut, Loke berkata pengesahan elektronik ‘kenali pelanggan anda menerusi platform digital’ (eKYC) yang disifatkan mempunyai ‘proses ketara’ dapat membantu menangani salah laku atau insiden ‘pajak’ My50 kepada warga asing.

Katanya, eKYC ada ciri-ciri tertentu untuk mengesahkan seseorang itu warganegara.

“Bukan mudah nak dapatkan eKYC,” katanya.

Dalam pada itu, Loke berkata Prasarana juga akan memperluaskan inisiatif pendigitalan kepada produk lain seperti pas MyCity dan pas MyTourist.

Katanya, langkah itu bertujuan meningkatkan kemudahan akses, mengurangkan kebergantungan kepada transaksi tunai selain memberikan pengalaman perjalanan yang mudah dan pantas.

Pas My50 yang diperkenalkan sejak 1 Jan 2022 ditawarkan pada harga RM50 sebulan, membolehkan akses tanpa had ke semua perkhidmatan LRT, MRT, monorail, BRT dan bas Rapid KL.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.