Bekas timbalan speaker didakwa terima rasuah Range Rover

Bekas timbalan speaker didakwa terima rasuah Range Rover

Mohamad Ali Mohamad didakwa terima suapan itu sebagai dorongan menganugerahkan syarikat subkontraktor bagi kerja tambak pantai di Melaka.

Mohamad Ali Mohamad
Bekas timbalan speaker Dewan Negara, Mohamad Ali Mohamad, 61, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan menerima rasuah sebuah Range Rover Sport, 10 tahun lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas timbalan speaker Dewan Negara dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan menerima rasuah sebuah Range Rover Sport daripada pengarah sebuah syarikat subkontraktor, 10 tahun lalu.

Tertuduh, Mohamad Ali Mohamad, 61, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh sebagai pengarah urusan sebuah syarikat pemaju didakwa secara rasuah menerima satu suapan, iaitu kenderaan Range Rover Sport nombor pendaftaran MCR 2 daripada pengarah syarikat lain bergelar datuk.

Ia sebagai dorongan untuk menganugerahkan kepada syarikat terbabit kerja-kerja subkontraktor ‘mengekstrak, mengangkut dan memunggah pasir laut di kawasan simpanan ditetapkan berhubung kerja penambakan pantai di Melaka’ yang dinilai pada kadar RM6.50 bagi setiap meter kubik pasir laut, bagi projek ‘Cadangan Menambak Laut Dan Semua Kerja Berkaitan seluas 89.03 hektar di Kota Laksamana’.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat syarikat terbabit di Taman Kota Syahbandar pada Jun 2015.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Akram Gharib memaklumkan tertuduh telah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 18 Jun lalu atas 20 pertuduhan rasuah dan dibenarkan jaminan RM60,000 bersama seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Beliau berkata pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan hari ini dan mencadangkan mahkamah mengguna pakai syarat dan jaminan seperti diputuskan di Mahkamah Shah Alam.

Katanya, pihaknya juga akan memfailkan permohonan pada tarikh sebutan 27 Julai depan di Mahkamah Shah Alam supaya semua kes di sana dipindahkan ke Mahkamah Sesyen 1 di Melaka untuk dibicarakan bersama.

“Tarikh sebutan baharu ditetapkan selepas tarikh itu,” katanya, menurut Berita Harian.

Peguam mewakili tertuduh, Md Yunos Shariff tidak membantah cadangan itu dan mengesahkan jaminan dan syarat berkenaan.

Hakim kemudiannya membenarkan permohonan pendakwaan dan menetapkan 14 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Pada 18 Jun lalu, Mohamad Ali mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 20 pertuduhan menerima rasuah wang tunai berjumlah RM235,000 dan tiga kereta mewah berhubung projek tambak laut di Melaka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.