Apa kaitan MM2H dengan warganegara, Syahredzan soal Zaharudin

Apa kaitan MM2H dengan warganegara, Syahredzan soal Zaharudin

Syahredzan Johan dari DAP mempersoalkan penjelasan YDP PAS Sungai Buloh berkait hantaran memuat naik gambar leftenan jeneral Cina pertama.

Syahredzan Johan turut persoal keengganan Zaharudin Muhammad memohon maaf di atas kesilapannya.
PETALING JAYA:
Naib Pengerusi DAP Syahredzan Johan membidas alasan Yang Dipertua PAS Sungai Buloh Zaharudin Muhammad berkait hantaran kontroversi memuat naik gambar leftenan jeneral Cina pertama.

“Mengarut! Itu sahaja ulasan saya apabila membaca ‘penjelasan’ YDP PAS Sungai Buloh.

“Apa kaitan kerakyatan dengan program MM2H (program Malaysia Rumah Keduaku)? Apakah pemimpin PAS ini sebenarnya tidak tahu dasar MM2H yang sudah berdekad lama dilaksanakan?,” katanya di Facebook.

Kelmarin, Zaharudin yang juga anak menantu Presiden PAS Hadi Awang membuat hantaran di Facebook berkait gambaran 2058 dan ‘naturalisasi PM’ yang turut menyertakan gambar Johnny Lim Eng Seng, iaitu leftenan jeneral Cina pertama.

Ramai mengkritik tindakan Zaharudin itu yang didakwa bersifat perkauman.

Namun pemimpin akar umbi PAS itu menjelaskan hantaran berkenaan sebenarnya untuk menyedarkan masyarakat berhubung MM2H yang didakwanya akan menuntut hak sebagai warganegara seperti mengundi.

Zaharudin turut mendakwa gambar Lim itu hanya bersifat hiasan dan bukan niatnya untuk menghina atau memperlekehkan pemasyhuran berkenaan.

Bagaimanapun, hantaran dimaksudkan Zaharudin itu telah dipadam namun beliau menjelaskan tindakan itu dibuat bukan kerana bimbang implikasi undang-undang tetapi tidak sempat memantau tulisan dibuatnya kelmarin.

Syahredzan turut mempersoalkan keengganan Zaharudin untuk memohon maaf di atas kesilapannya sebaliknya mempertimbang mengambil tindakan undang-undang terhadap Timbalan Setiausaha Agung DAP Steven Sim.

“Dia yang buat salah, orang lain dipersalahkan.

“Tiada permohonan maaf, tiada pengakuan salah, tiada kekesalan tetapi ghairah pula ingin menyaman orang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.