Waspada guna dana KWSP untuk insurans perubatan, gesa perancang kewangan

Waspada guna dana KWSP untuk insurans perubatan, gesa perancang kewangan

Mereka berkata pengeluaran dana KWSP boleh menyebabkan kualiti hidup lebih rendah selepas bersara dan lebih bergantung kepada ahli keluarga.

DZULKEFLY AHMAD
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad mencadangkan KWSP membenarkan pencarum menggunakan sebahagian kecil simpanan persaraan mereka untuk membayar premium insurans perubatan.
PETALING JAYA:
Dua perancang kewangan bimbang dengan cadangan membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggunakan sebahagian simpanan persaraan mereka untuk insurans perubatan yang boleh menjejaskan keselamatan kewangan jangka panjang.

Rajendaran Vairavan berkata, pengeluaran Akaun 2 walaupun untuk sesuatu yang penting seperti insurans perubatan boleh menjejaskan kestabilan kewangan jangka panjang.

“Mengalihkan dana ke arah insurans perubatan hari ini bermakna menghakis modal persaraan esok,” katanya sambil menambah pengeluaran itu boleh menyebabkan kualiti hidup lebih rendah selepas bersara dan lebih bergantung kepada ahli keluarga atau bantuan kerajaan.

Beliau memberi amaran cadangan had 1% untuk pengeluaran walaupun kecil, mungkin mewujudkan “rasa selamat palsu”.

Rajendaran Vairavan
Rajendaran Vairavan.

“Ia mungkin menggalakkan pengeluaran kerap untuk perbelanjaan kecil atas andaian kesannya kecil, tetapi secara kumulatif, ini menghakis simpanan persaraan.”

Justeru, Rajendaran menggesa pencarum menganggap pengeluaran KWSP pilihan terakhir dan hanya dibuat selepas perancangan persaraan teliti.

Beliau berkata, pencarum perlu meneroka cara lain terlebih dahulu, seperti menyertai perlindungan kesihatan tajaan majikan atau menggunakan simpanan kecemasan peribadi, sebelum mengeluarkan dana persaraan mereka.

Jumaat lalu, Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad mencadangkan KWSP membenarkan pencarum menggunakan dana “Akaun 2” untuk membayar premium insurans perubatan bagi mengakses penjagaan kesihatan lebih pantas dan berkualiti tinggi yang ditawarkan sektor swasta tempatan.

Pencarum KWSP ketika ini boleh mengakses dana Akaun 2 mereka untuk memenuhi beberapa keperluan pendidikan, penjagaan kesihatan dan perumahan. Mereka juga dibenarkan membuat sebahagian pengeluaran pada umur 50 tahun.

Noorul Azila Kamaruzzaman
Noorul Azila Kamaruzzaman.

Seorang lagi perancang kewangan, Noorul Azila Kamaruzzaman turut mengingatkan pengeluaran untuk tujuan bukan persaraan bertentangan matlamat simpanan KWSP.

Beliau mengakui kepentingan insurans perubatan, tetapi ia tidak patut mengorbankan simpanan jangka panjang.

“Itu bukan keputusan bijak dari segi kewangan,” katanya sambil menambah ia penting buat individu bergelut memiliki simpanan mencukupi bagi persaraan mereka.

Laporan Institut Penyelidikan Khazanah tahun lalu mendapati 52% pencarum KWSP berumur 55 tahun ke bawah mempunyai simpanan kurang RM10,000 yang berpotensi menyebabkan mereka tidak mempunyai dana mencukupi untuk persaraan.

Azila berkata, pesara yang kehabisan simpanan mungkin terpaksa bergantung kepada anak untuk terus hidup.

Tetapi, katanya, pencarum tanpa perlindungan perubatan yang mempunyai baki KWSP mencukupi perlu dibenar menggunakan sebahagian kecil simpanan untuk polisi asas.

Beliau turut menyarankan pencarum yang memilih mengeluarkan simpanan untuk tujuan itu perlu komited membina semula simpanan mereka, sama ada melalui caruman KWSP sukarela atau pelaburan lain.

“Apa pun, keputusan ini harus menjadi sebahagian rancangan kewangan menyeluruh, bukannya penyelesaian kendiri.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.