Syed Saddiq bebas tuduhan rasuah, ubah wang

Syed Saddiq bebas tuduhan rasuah, ubah wang

Hakim Noorin Badaruddin berkata perayu sepatutnya dibebaskan tanpa dipanggil membela diri semasa perbicaraan.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Istana Kehakiman, Putrajaya hari ini.
PETALING JAYA:
Mahkamah Rayuan sebulat suara membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

Dalam membenarkan rayuan bekas menteri belia dan sukan itu, Hakim Noorin Badaruddin berkata perayu sepatutnya dibebaskan tanpa dipanggil membela diri semasa perbicaraan.

Membaca penghakimannya dalam kamar mahkamah penuh sesak, beliau berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen penting dalam tuduhan bersubahat melakukan pecah amanah dan penyelewengan secara tidak jujur.

Noorin berkata, hakim perbicaraan gagal menilai pembelaan Syed Saddiq dan menganggapnya penafian semata-mata serta difikirkan kemudian.

Menurutnya, hakim perbicaraan melakukan salah arah serius yang memerlukan campur tangan Mahkamah Rayuan.

Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim dan Azman Abdullah turut mendengar rayuan itu.

Syed Saddiq didapati bersalah pada November 2023 atas pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah dana Pemuda Bersatu lebih RM1 juta dan satu lagi pertuduhan salah guna harta secara tidak jujur, iaitu wang lebih RM120,000 milik sayap itu​​.

Bekas ketua Pemuda Bersatu itu turut disabitkan bersalah atas dua pertuduhan pengubahan wang haram kerana memindahkan RM100,000 ke akaun peribadinya daripada sebuah syarikat dikaitkan dengan sayap terbabit, Armada Bumi Bersatu Enterprise.

Beliau dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan atas pertuduhan pecah amanah, dua tahun dan satu lagi sebatan atas tuduhan penyelewengan dan dua tahun penjara atas kesalahan pengubahan wang haram.

Pengasas Muda itu turut didenda RM10 juta.

Dalam keputusannya hari ini, Noorin berkata tindakan bekas penolong bendahari Pemuda Bersatu, Rafiq Hakim Razali, mengeluarkan RM1 juta daripada akaun bank sayap itu bukan satu pelanggaran Seksyen 405 Kanun Keseksaan atau perlembagaan parti, khususnya Artikel 24.7 dan 24.8.

“Tidak boleh wujud perbuatan bersubahat apabila perayu tidak membantu pelaku utama,” katanya.

Hakim itu berkata tiada niat tidak jujur boleh dikaitkan dengan Syed Saddiq memandangkan tidak ada satu sen pun masuk dalam poketnya. Katanya, RM1 juta itu hanya bertujuan untuk digunakan Pemuda Bersatu bagi menjalankan program parti.

“Keuntungan secara salah (oleh Syed Saddiq) dan kerugian salah kepada Pemuda Bersatu tidak dapat dibuktikan.”

Bagi pertuduhan kedua iaitu salah guna wang, beliau berkata RM120,000 yang merupakan hasil derma dikutip semasa majlis kutipan dana di Muar, Johor dan Ampang, Selangor, adalah milik Syed Saddiq.

Noorin juga berkata terdapat asas kukuh untuk mengesyaki bahawa Rafiq, saksi utama pendakwaan, mungkin telah membuat keterangannya akibat tekanan daripada pegawai penyiasat SPRM.

Beliau berkata hakim perbicaraan melakukan kesilapan yang boleh dirayu kerana gagal menganalisis kes pembelaan, yang merupakan pelanggaran Seksyen 182(1A) Kanun Tatacara Jenayah.

“Beliau tidak mempertimbangkan semua keterangan yang memihak kepada tertuduh,” katanya, sambil menambah bahawa mahkamah rayuan sentiasa berhati-hati untuk membatalkan dapatan fakta oleh mahkamah perbicaraan.

Noorin juga mendapati bahawa hakim perbicaraan gagal mempertimbangkan hujah yang dikemukakan barisan peguam Syed Saddiq semasa perbicaraan, yang merupakan satu salah arah yang serius.

Peguam Syed Saddiq ialah Yusof Zainal Abiden, Hisyam Teh Poh Teik, Alex Tan, Low Wei Loke dan Kee Wei Lon.

Timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Farah Ezlin Yusop Khan bertindak bagi pihak pendakwaan.

Wan Shahruddin berkata pihak pendakwaan akan meneliti penghakiman sebelum membuat keputusan untuk memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, kemudiannya berkata pihak pendakwaan akan memfailkan rayuan.

Pendakwaan mempunyai tempoh 14 hari bermula hari ini untuk memfailkan notis rayuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.