
Syahruddin Awang Ahmad berkata pendekatan itu akan menyaksikan semua parti bertanding antara satu sama lain pada PRN Melaka yang perlu diadakan selepas penggal pentadbiran semasa tamat pada Disember tahun depan.
“Seperti di Sabah yang mungkin bertanding satu sama lain (membabitkan parti dalam kerajaan perpaduan di peringkat pusat), keadaan itu mungkin boleh berlaku di Melaka.
“Ia membenarkan pertembungan demokrasi tetapi boleh melemahkan kesepaduan parti dalam kerajaan,” kata ahli akademik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu kepada FMT.
Kelmarin, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh dalam satu video di Facebook menyatakan kesediaan Barisan Nasional (BN) bertembung dengan Pakatan Harapan (PH) yang menjadi sekutunya di pentadbiran Putrajaya dan Melaka.
Adun Merlimau itu mendakwa ada wakil Pemuda DAP membawa usul supaya PH dan BN masing-masing bertanding 14 kerusi.
Bagaimanapun, Akmal membantah cadangan itu memandangkan PH hanya mempunyai lima kerusi di Melaka manakala tiga dari pembangkang dan selebihnya diwakili BN.
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata kebimbangan Akmal itu mempunyai asas sendiri kerana BN menguasai sebahagian besar kerusi DUN Melaka tetapi diminta berkongsi.
“Jadi kalau tidak boleh bersepakat, terpaksa bertanding satu sama lain di 28 kerusi,” katanya.
Sementara itu, Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan berpandangan pertembungan sesama sendiri antara komponen kerajaan perpaduan sebolehnya dielakkan.
Menurutnya, pendekatan terbaik mengekalkan model sedia ada iaitu parti penyandang dikekalkan sebagai ‘status quo’.
“Tidak perlu sampai ke peringkat itu (tanding sesama sendiri) dan apa yang Akmal cakap itu adalah kerana parti lain mahu guna formula 14+14,” katanya.