
Azam diminta mengulas mengenai keputusan Mahkamah Rayuan yang sebulat suara memihak kepada bekas menteri belia dan sukan itu pagi ini.
“Ini adalah keputusan mahkamah. Saya dimaklumkan oleh pihak pendakwaan bahawa mereka akan merayu ke Mahkamah Persekutuan,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat agensi itu di sini.
Timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin sebelum ini berkata pihak pendakwaan akan mengkaji penghakiman Mahkamah Rayuan sebelum membuat keputusan seterusnya.
Katanya, pihak pendakwaan boleh merayu ke Mahkamah Persekutuan kerana perbicaraan bermula di Mahkamah Tinggi.
Dalam membenarkan rayuan Syed Saddiq pagi tadi, Hakim Noorin Badaruddin berkata beliau sepatutnya dibebaskan tanpa dipanggil membela diri semasa perbicaraan.
Beliau berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen penting dalam tuduhan bersubahat melakukan pecah amanah dan penyelewengan secara tidak jujur.
Noorin juga berkata, hakim perbicaraan gagal menilai pembelaan Syed Saddiq dan menganggapnya penafian semata-mata serta difikirkan kemudian.
Menurutnya, hakim perbicaraan melakukan salah arah serius yang memerlukan campur tangan Mahkamah Rayuan.
Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim dan Azman Abdullah turut mendengar rayuan itu.
Syed Saddiq didapati bersalah pada November 2023 atas pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah dana Pemuda Bersatu lebih RM1 juta dan satu lagi pertuduhan salah guna harta secara tidak jujur, iaitu wang lebih RM120,000 milik sayap itu.
Bekas ketua Pemuda Bersatu itu turut disabitkan bersalah atas dua pertuduhan pengubahan wang haram kerana memindahkan RM100,000 ke akaun peribadinya daripada sebuah syarikat dikaitkan dengan sayap terbabit, Armada Bumi Bersatu Enterprise.
Beliau dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan atas pertuduhan pecah amanah, dua tahun dan satu lagi sebatan atas tuduhan penyelewengan dan dua tahun penjara atas kesalahan pengubahan wang haram.
Pengasas Muda itu turut didenda RM10 juta.