
Zaliha berkata, projek itu dibangunkan melalui kerjasama awam-swasta dengan konsep ‘bina-pajak-senggara-pindah’ (BLMT) oleh Putrajaya Holdings.
“Kos pembangunan RM4 bilion ini ditanggung sepenuhnya oleh pemaju. Pemaju juga akan menanggung kos penyelenggaraan.
“Selepas 25 tahun, keseluruhan projek ini akan jadi milik kerajaan,” katanya dalam hantaran di Facebook, menjawab persoalan dan salah tanggapan dibangkitkan segelintir pihak.
Zaliha turut menegaskan, penggunaan nama Madani bukan label politik seperti didakwa pelbagai pihak susulan ia digunakan dalam pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Ia adalah nilai tentang kemanusiaan, keseimbangan, keadilan dan kelestarian. Kota Madani ini dibangunkan selari dengan visi Bandar CHASE, iaitu bandar yang bersih, sihat, terkehadapan, selamat dan mesra alam.
“Ada juga elemen rendah karbon, jaringan hijau, mobiliti pintar dan teknologi terkini.
“Bagi saya, penjawat awam layak mendapat kemudahan perumahan baik. Putrajaya perlu terus diperkukuh sebagai kota tadbir urus yang inklusif dan berwawasan,” katanya sambil meminta rakyat tidak dikelirukan dengan naratif salah.
Awal bulan ini, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan berkata kerajaan perlu menghentikan amalan menggunakan slogan pentadbiran sebagai nama inisiatif seperti projek Kota Madani di Putrajaya bagi mengelakkan pembaziran wang rakyat.
Katanya, langkah lebih baik ialah jika projek kerajaan menggunakan penjenamaan lestari serta nama yang kekal tanpa berubah walaupun berlaku pertukaran pentadbiran.
Dengan keluasan 41.28 hektar, Kota Madani yang dibangunkan di Presint 19 bakal menempatkan 10,000 unit kuarters kediaman berintensiti tinggi yang mampu menampung lebih 30,000 penduduk.
Pembangunan itu turut dirangka dengan integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI), infrastruktur digital cekap dan sistem mobiliti hijau.