Perhimpunan anti rasuah: Polis nafi tahan 2 pelajar UMS

Perhimpunan anti rasuah: Polis nafi tahan 2 pelajar UMS

Ketua Polis Kota Kinabalu Kasim Muda menjelaskan dua pelajar itu dipanggil untuk memberikan keterangan berhubung laporan dibuat mereka sendiri.

Kasim Muda
Kasim Muda nafi ada kekerasan fizikal terhadap dua pelajar UMS ketika dipanggil beri keterangan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis menafikan dakwaan dua mahasiswa ditahan susulan penganjuran perhimpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0.

Mengulas dakwaan aktivis Borneo Komrad Mukmin Nantang di media sosial, Ketua Polis Kota Kinabalu Kasim Muda menjelaskan mereka hanya dipanggil untuk memberikan keterangan berhubung laporan dibuat mereka sendiri.

Menurutnya, laporan polis tu berkait simbahan asid ke atas sebuah kenderaan semasa perhimpunan berlangsung.

“Tiada sebarang tangkapan atau kekerasan fizikal dilakukan.

“Mereka hanya diminta beri keterangan tambahan berkaitan penganjuran perhimpunan,” katanya menurut Utusan Borneo.

Sebelum ini, Mukmin mendakwa Presiden Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah Fadhil Kasim dan Aliff Danial Badrul Akmal Hisham, ditahan serta dianiaya semasa hadir ke balai polis.

Dakwaan itu turut menyebut Fadhil dipukul dan ditengking namun dinafikan polis.

Lebih 100 peserta menyertai perhimpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0 anjuran segelintir pelajar UMS, Sabtu lalu.

Perhimpunan itu diadakan bagi menggesa tindakan diambil terhadap Jabatan Air Sabah, tetapi ia berakhir dengan pembakaran karikatur Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

UMS telah membuat laporan polis berhubung perkara itu dan Ketua Polis Sabah Jauteh Dikun mengesahkan siasatan dibuat mengikut Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.