Pelajar universiti didakwa cabul kehormatan wanita di stesen MRT

Pelajar universiti didakwa cabul kehormatan wanita di stesen MRT

Muhammad Hafiz Damian Abdul Qawwiy dibenarkan ikat jamin RM1,000 kerana mahu menduduki peperiksaan Khamis ini.

scales of justice gavel
Muhammad Hafiz Damian Abdul Qawwiy didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tuduhan mencabul kehormatan wanita di Stesen MRT Taman Pertama, Ahad lalu.
PETALING JAYA:
Seorang penuntut universiti swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tuduhan mencabul kehormatan seorang wanita di sebuah stesen MRT di Cheras, Ahad lalu.

Muhammad Hafiz Damian Abdul Qawwiy, 19, membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim, lapor Berita Harian.

Mengikut tuduhan, Hafiz didakwa membuat isyarat untuk melihat bahagian sulit seorang wanita berusia 28 tahun di Stesen MRT Taman Pertama, pada 8.53 malam, Ahad lalu.

Pemuda itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Mohammad Sufi Mohammad Sukor yang mewakili Hafiz memohon jaminan diberikan kepada tertuduh dengan alasan anak guamnya pesalah muda dan akan menduduki peperiksaan pada Khamis.

Sufi berkata bapa angkat tertuduh juga hadir untuk menjamin pemuda itu tetapi dia hanya mempunyai wang kurang daripada RM1,000.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dan menetapkan 18 Ogos ini untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurainizatul Farhana Zainal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.