PAS perlu pemimpin intelektual, sederhana berbanding ‘terlantang’, kata penganalisis

PAS perlu pemimpin intelektual, sederhana berbanding ‘terlantang’, kata penganalisis

Azmi Hassan kata PAS perlukan pemimpin intelektual yang sederhana untuk tarik sokongan masyarakat bukan Melayu.

sanusi nor
Sanusi Nor pernah menolak untuk dinamakan sebagai calon naib presiden PAS pada pemilihan 2023.
PETALING JAYA:
PAS memerlukan pemimpin yang intelektual dan memiliki sifat kesederhanaan, berbanding ahli politik yang ‘terlantang’, untuk meraih sokongan terbanyak, menurut penganalisis.

Azmi Hassan berkata PAS perlu menampilkan pemimpin sedemikian untuk mengatasi ketakutan golongan bukan Melayu yang menganggap parti itu ekstrem.

“Bukan terlantang yang diperlukan tetapi pemimpin intelektual yang sederhana khususnya untuk menarik masyarakat bukan Melayu supaya tidak takut dengan PAS,” katanya kepada FMT.

Komen penganalisis politik dari Akademi Nusantara ini menyusuli langkah PAS Alor Setar meluluskan usul mencalonkan Pengarah Pilihan Raya Sanusi Nor untuk jawatan naib presiden menjelang pemilihan parti pada September.

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS, Mokhtar Senik, menyokong pencalonan Sanusi kerana keberanian dan kelantangan beliau.

Azmi bagaimanapun berkata pengundi terbanyak akan menilai Sanusi berdasarkan prestasi beliau sebagai menteri besar Kedah, membandingkan negeri itu dengan Perlis, Kelantan, dan Terengganu yang turut ditadbir PAS.

“Kedah dilihat sama setaraf pembangunan dengan tiga negeri lain,” katanya.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata Sanusi berpeluang untuk memenangi jawatan naib presiden.

“Tak dapat dinafikan dia dapat menarik sokongan pengundi akar umbi dan itu kekuatan terbesar Sanusi,” katanya.

Sanusi menolak untuk dinamakan sebagai calon naib presiden pada pemilihan 2023. Katanya ketika itu, beliau sudah dua kali menolak pencalonan bagi jawatan itu.

Kerusi naib presiden PAS kini diduduki Ahli Parlimen Kemaman Ahmad Samsuri Mokhtar, Ahli Parlimen Bagan Serai Idris Ahmad dan Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Abdullah.

Ketiga-tiganya tidak dicabar pada pemilihan lalu.

Samsuri baru-baru ini dilapor berkata beliau melepaskan jawatan ketua PAS Marang bagi memberi tumpuan pada tugas naib presiden.

“Saya rasa seluruh calon naib presiden nanti akan bertanding sengit,” kata Syaza.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.