Mahkamah kekal keputusan pecat lelaki serang pekerja asing

Mahkamah kekal keputusan pecat lelaki serang pekerja asing

Pengerusi Mahkamah Perusahaan Andersen Ong berkata setiap syarikat perlu memastikan persekitaran kerja selamat dan terjamin bagi semua pekerja.

mahkamah perusahaan malaysia
Mahkamah Perusahaan berkata keputusan Kuala Lumpur Kepong Bhd memecat pengira buah sawit B Inthiran adalah ‘tindak balas perlu dan berkadar’ terhadap pelanggaran serius disiplin tempat kerja. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Perusahaan menolak tuntutan pemecatan tidak adil seorang bekas pengira buah sawit yang menyerang seorang pekerja asing.

B Inthiran dipecat sebuah syarikat perladangan multinasional enam tahun lalu susulan siasatan domestik mendapati dia bersalah atas salah laku selepas dia bersama empat individu lain merusuh serta menyerang pekerja asing itu.

Pengerusi Mahkamah Perusahaan, Andersen Ong, berkata keputusan Kuala Lumpur Kepong Bhd memecat Inthiran adalah tindak balas perlu dan berkadar terhadap pelanggaran serius disiplin tempat kerja.

“Syarikat itu tidak boleh dipersalahkan kerana mengambil tindakan tatatertib tegas atas salah laku serius sedemikian berdasarkan tanggungjawabnya untuk melindungi semua pekerja dan mengekalkan keharmonian industri,” katanya dalam penghakiman 38 muka surat yang dikeluarkan awal bulan ini.

Ong berkata, setiap majikan perlu memastikan persekitaran kerja selamat dan terjamin untuk semua pekerja, tidak kira pekerja tempatan atau asing.

Kewajipan sedemikian, katanya, termasuk mengambil langkah munasabah untuk mencegah keganasan, mengekalkan disiplin tempat kerja dan melindungi kesejahteraan semua pekerja.

Beliau berkata, keganasan yang dilakukan pekerja tempatan terhadap seorang pekerja asing keterlaluan kerana ia satu bentuk “penyalahgunaan kuasa sosial dan ekonomi”.

“Perbuatan sebegini melanggar dasar awam Malaysia, yang mengiktiraf keperluan untuk menjaga kebajikan dan maruah semua pekerja, termasuk warga asing.”

Ong berkata, mahkamah mendapati kelakuan seseorang pekerja memerlukan tindakan tatatertib walaupun dilakukan di luar waktu bekerja kerana ia menjejaskan reputasi majikan.

Syarikat itu mendakwa Inthiran terbabit merusuh dan menyerang warga India, Sirajuddin Sah di sebuah rumah di kuarters syarikat berkenaan di Ladang Batang Jelai, Bahau, Negeri Sembilan.

Sirajuddin dimasukkan ke wad selama dua hari dan diberi cuti sakit lapan hari akibat kecederaan dialaminya.

Inthiran dan empat individu lain – R Thanakody, S Tamil Selvam, S Lingehswaran dan R Visu – turut disabitkan kesalahan dan didenda oleh Mahkamah Majistret Bahau kerana merusuh pada 8 Sept 2019.

Mahkamah Perusahaan turut menolak tuntutan pemecatan tidak adil empat lelaki itu.

Ong berkata, serangan ke atas Sirajuddin, yang bekerja sebagai pemuat, adalah serangan teruk yang mengakibatkan kecederaan serius.

Katanya, Inthiran tidak memberikan sebarang alasan munasabah untuk mewajarkan serangannya terhadap Sirajuddin, selain mendakwa pekerja asing itu menuduhnya menjalin hubungan sulit dengan seorang wanita.

Inthiran juga tidak memberikan alasan munasabah mengarahkan rakannya menyerang Sirajuddin secara ganas di kuarters.

M Thayalan mewakili Inthiran, manakala syarikat itu diwakili R Muralindran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.