Kejayaan RMK13 bergantung penyelarasan, siap siaga setiap kementerian, kata Anwar

Kejayaan RMK13 bergantung penyelarasan, siap siaga setiap kementerian, kata Anwar

Perdana menteri berkata setiap jentera pentadbiran perlu bergerak dengan semangat sederap dan seragam dalam merealisasikan dasar berpijak pada realiti serta memenuhi tuntutan masa depan.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat khas Jemaah Menteri semalam bagi meneliti kerangka dan inisiatif utama RMK13. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata kejayaan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bergantung kepada penyelarasan kemas serta kesiapsiagaan setiap kementerian dan agensi kerajaan.

Menerusi hantaran di Facebook malam tadi, Anwar yang juga menteri kewangan berkata, setiap jentera pentadbiran perlu bergerak dengan semangat sederap dan seragam sebagai satu pasukan negara dalam merealisasikan dasar berpijak pada realiti serta memenuhi tuntutan masa depan.

“RMK13 dirangka hasil perbincangan berterusan antara kementerian, agensi pusat dan kerajaan negeri sejak beberapa bulan lalu,” katanya yang mempengerusikan mesyuarat khas Jemaah Menteri bagi meneliti kerangka dan inisiatif utama RMK13 semalam.

Beliau berkata, dokumen penting itu, yang akan membentuk hala tuju pembangunan negara untuk tempoh lima tahun, dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada hujung bulan depan.

Pada mesyuarat itu, Anwar turut memberi ruang kepada semua menteri dan pengurusan tertinggi kementerian menyumbang idea serta cadangan dalam usaha mempertajam pelaksanaan RMK13.

“RMK13 adalah kesinambungan kepada pembaharuan yang telah digerakkan kerajaan sejak dua tahun lalu, berteraskan aspirasi ekonomi Madani untuk menyusun semula struktur ekonomi, mengangkat darjat, harkat dan martabat rakyat serta membina negara lebih adil, mampan dan berdaya tahan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.