
Polis turut merakam keterangan 19 individu dalam dua kes itu bagi membantu siasatan.
“Tiada sebarang tangkapan dibuat setakat hari ini. Masih usaha untuk kenal pasti suspek terlibat,” kata Ketua Polis Cheras, Aidil Bolhassan dalam kenyataan.
Ketua Polis Brickfields, Ku Mashariman Ku Mahmood, pula berkata lima individu ditahan sebelum ini yang merupakan saksi kejadian sudah dibebaskan.
Pada 13 Jun lalu, tiga lelaki berusia 30 hingga 50 tahun sedang makan bersama enam rakan di sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan diserang dua lelaki bermotosikal yang melepaskan beberapa das tembakan ke arah mereka.
Selang empat hari kemudian, dua lelaki maut ditembak sekumpulan lelaki di depan sebuah pusat beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Isa dilaporkan berkata, kes di Cheras dipercayai berpunca daripada aktiviti penyeludupan di Sibu, Sarawak, manakala kes di Brickfields dipercayai akibat konflik aktiviti jenayah yang berlaku di Selangor.