
Berucap pada pembukaan Ekspo Taiwan 2025 semalam, Wang berkata, penekanan Malaysia terhadap infrastruktur digital dan inovasi pelengkap kekuatan Taiwan dalam pembuatan semikonduktor dan integrasi sistem — menjadikan kedua-dua negara rakan sejadi dalam ekosistem teknologi.
Beliau turut merujuk kepada Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) Malaysia, sambil menyatakan Taiwan bersedia menyumbang melalui kerjasama jangka panjang, bukan sekadar perdagangan jangka pendek, demi membantu Malaysia mencapai sasaran ditetapkan.
“Kami bukan datang berurus niaga sekali sahaja. Kami berada di sini untuk membina kerjasama berkekalan,” kata Wang kepada pemberita selepas pelancaran ekspo itu.
“Daripada 200 syarikat mengambil bahagian tahun ini, 32 mempamerkan aplikasi AI — mewakili 16% daripada keseluruhan peserta pameran,” tambahnya.
Wang mengambil maklum teknologi AI kini telah keluar daripada makmal penyelidikan dan menjadi sebahagian hidup seharian, sekali gus mengubah cara manusia bekerja, membuat keputusan, dan menyelesaikan masalah.
“Daripada kilang pintar dan diagnosis perubatan sehinggalah ke perancangan bandar dan sektor pendidikan, AI sudahpun memberi impak ketara,” katanya dalam ucapan pembukaan pada majlis pelancaran tersebut.
Wang menekankan ekosistem AI menyeluruh di Taiwan, khususnya kekuatan negara itu dalam reka bentuk litar bersepadu, pembuatan, pembungkusan, dan ujian.
Beliau berkata, Taiwan juga turut berdaya saing dalam penyediaan pelayan AI bagi memenuhi keperluan pengkomputeran awan, penyedia perkhidmatan awan, serta teknologi pengkomputeran berprestasi tinggi.
Wang turut menyentuh kerjasama Taiwan dengan syarikat Barat yang memberi tumpuan kepada pembuatan pintar dan kelestarian alam sekitar.
Ia termasuk usaha penjimatan tenaga dan penyahkarbonan proses pembungkusan, dengan pelbagai teknologi berkaitan bidang berkenaan turut dipamerkan di ekspo tersebut.
Ekspo Taiwan 2025, yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bermula 23 hingga 25 Jun, merupakan edisi kelapan di Malaysia dan yang terbesar setakat ini.
Dianjurkan Taitra bersama Pentadbiran Perdagangan Antarabangsa Taiwan, ekspo itu menampilkan lima tema utama, iaitu pembuatan pintar, kesihatan dan kesejahteraan, gaya hidup pintar, kelestarian alam sekitar, serta budaya dan pelancongan.
Teknologi AI terus menjadi tumpuan utama, dengan syarikat seperti Phison, Touché Solutions, DeepXray, dan Nuwa Robotics memperagakan teknologi terkini dalam bidang penyimpanan data, kulit sintetik, saringan kanser, dan pendidikan.
Penyelesaian berasaskan kelestarian turut dipamerkan, merangkumi pengurusan menara air pintar, sistem penyaman udara cekap tenaga, serta teknologi pembungkusan karbon rendah.
Inovasi pengeluaran makanan turut menjadi tarikan utama di Pavilion Budaya Makanan Pilihan Taiwan, yang menampilkan produk bersijil halal dan pemenang anugerah, selain lengkap dengan demonstrasi upacara teh tradisional.
Pengunjung juga boleh memenangi tiket pergi balik ke Taipei, ditaja China Airlines, Eva Air, dan Starlux Airlines. Masuk adalah percuma.