
MMM turut berpandangan, pendekatan menghukum menerusi undang-undang hanya akan melemahkan kebebasan media.
“Jalan penyelesaian terhadap kewartawanan yang cacat adalah melalui kewartawanan yang lebih baik, bukan melalui intimidasi atau penindasan,” menurut MMM menerusi kenyataan dikeluarkan lembaga pengasas badan itu hari ini.
“Walaupun organisasi media mempunyai tanggungjawab melapor secara tepat dan beretika, penting juga agar sebarang kesilapan ditangani secara membina dan dalam kerangka yang sewajarnya.”
Baru-baru ini, Sinar Harian menerbitkan infografik biodata Mohd Khalid yang menyatakan beliau pernah memegang jawatan tinggi dalam PKR. Akhbar itu bagaimanapun menarik balik infografik itu dan membuat permohonan maaf secara terbuka.
Dalam kes ini, MMM berkata, Sinar Harian telah meminta maaf selain memohon untuk bertemu dengan KPN, malah Mohd Khalid juga bersetuju menemui mereka.
Katanya, kesilapan boleh berlaku dalam mana-mana profesion, namun yang lebih penting adalah bagaimana ia ditangani.
“Media, dalam hal ini, harus bertindak balas dengan ketelusan, rendah hati dan iltizam untuk memperbaiki kelemahan,” menurut MMM.
Menurut kenyataan itu, walaupun MMM masih belum berfungsi secara rasmi, situasi itu mengukuhkan keperluan mengangkat nilai-nilai asas kewartawanan yang bertanggungjawab dan kepentingan semakan fakta, khususnya apabila melaporkan mengenai institusi penting negara.
“MMM komited untuk mewujudkan persekitaran media yang menghormati kebebasan bersuara dalam batas kewartawanan yang profesional, bertanggungjawab dan beretika,” menurut kenyataan itu.
MMM yang ditubuhkan di bawah Akta MMM 2025 mula berkuat kuasa pada 14 Jun lepas.
Lembaga Pengasas MMM terdiri daripada 12 anggota, yang terdiri daripada wakil syarikat media, persatuan media, pengamal media serta ahli bukan media.