Rakyat Malaysia di Iran guna cara lama hubungi keluarga, kata duta

Rakyat Malaysia di Iran guna cara lama hubungi keluarga, kata duta

Duta Besar Malaysia ke Iran Khairi Omar berkata ia susulan perkhidmatan perayauan serta aplikasi WhatsApp di negara itu disekat ketika ini.

Duta Besar Malaysia ke Iran Khairi Omar (dua dari kiri) disambut Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar Negeri Ahmad Rozian Abd Ghani (dua dari kanan) sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 malam tadi. (Gambar Bernama)
SEPANG:
Ketika ketegangan memuncak di Iran susulan serangan balas Israel, penduduk di negara itu terpaksa bergantung kepada kaedah komunikasi lama seperti sistem pesanan ringkas (SMS) untuk berhubung dengan ahli keluarga dan pihak berkepentingan.

Duta Besar Malaysia ke Iran Khairi Omar berkata ia susulan perkhidmatan perayauan serta aplikasi WhatsApp di negara itu disekat ketika ini.

“Di Iran, komunikasi SMS terbuka antara nombor telefon Iran sendiri. Jadi, di peringkat nasional masih boleh berhubung, cuma kalau kita nak hubungi dari sini ke nombor Iran, tidak dapat kerana perkhidmatan perayauan ditutup.

“Tetapi, kalau dari Iran untuk panggilan keluar, boleh. Jadi, kita gunakan cara lama (seperti) mesej teks yang tak ramai guna sekarang.

“WhatsApp semua memang tidak boleh digunakan. Tetapi, saya rasa sudah mula ada kembali, namun dikawal sepenuhnya untuk pastikan maklumat berkaitan isu keselamatan tidak didedahkan,” katanya sejurus tiba di tanah air malam tadi bersama 24 individu dibawa keluar dari Iran.

Mereka terdiri daripada 17 rakyat Malaysia, enam tanggungan warganegara Iran serta seorang warga Singapura.

Khairi berkata situasi di Iran sangat tidak menentu, terutama pada awal serangan menyebabkan warga asing dan tempatan terkejut dengan serangan yang disifatkan begitu drastik.

“Selepas sehari dua, kita dah nampak rutin (serangan) macam mana, seperti di sebelah malam serangan antara kedua pihak agak dahsyat, tapi di sebelah siang nampak macam mereka sepakat pula untuk kurangkan serangan.

“Macam yang kita semua tahu, sasarannya pun dikenal pasti dan kalau serangan menyasarkan kemudahan tertentu, di pihak satu lagi pun akan buat (serangan) sama. Jadi, ada bentuk serangan yang kita boleh nampak.

“Walaupun demikian, suasana itu memang sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga kerana jika berada di tempat dan waktu salah, seseorang mungkin terjebak dalam situasi tidak diingini.”

Terdahulu, kerajaan mengarahkan penutupan sementara operasi Kedutaan Malaysia di Iran serta meminta semua petugas kedutaan di negara bergolak itu segera pulang ke tanah air.

Seorang peniaga Fadhil Yusni, 33, bersyukur dapat bersatu dengan isterinya Zainab Ganood yang merupakan warga Iran dan terkandas di negara itu ketika pulang melawat ibu bapanya.

“Sepanjang konflik berlaku, saya rasa panik sebab tak dapat berhubung dengan isteri. Alhamdulillah malam ini saya rasa bersyukur, terima kasih kepada kerajaan dan Kementerian Luar yang membawa isteri saya keluar dari Iran.”

Katanya dia sedang mencari jalan terbaik untuk membawa keluar ahli keluarga isterinya yang masih berada di negara bergolak itu.

Ketegangan di Iran tercetus pada 13 Jun lalu apabila Israel melancarkan serangan udara ke atas beberapa lokasi di seluruh Iran, termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear yang mendorong Tehran melancarkan serangan balas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.