Pusat Tingkatan 6 universiti tak ketepi sekolah, kata KPM

Pusat Tingkatan 6 universiti tak ketepi sekolah, kata KPM

Kementerian Pendidikan menjawab kebimbangan sebuah kumpulan pendidik terhadap peruntukan dan pengambilan guru untuk projek rintis itu.

stpm
Bulan lalu, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sains Malaysia dilaporkan dipilih untuk projek rintis program STPM di universiti awam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan sekolah Tingkatan 6 sedia ada tidak akan diketepikan dengan penubuhan pusat khas Tingkatan 6 di dua universiti tempatan.

“Peruntukan pembiayaan dan perancangan tenaga kerja akan terus berpandukan data serta prinsip kesaksamaan bagi memastikan tiada sekolah diketepikan.

“Sokongan dan penambahbaikan berterusan untuk sekolah sedia ada kekal menjadi keutamaan kementerian,” kata KPM dalam kenyataan kepada FMT.

Kenyataan itu sebagai respons terhadap Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka yang bimbang banyak sekolah Tingkatan 6 sudah bergelut dengan kekurangan guru dan infrastruktur lemah.

Pengerusinya, Mak Chee Kin turut mempersoalkan sama ada sumber untuk projek itu datang daripada universiti atau KPM.

“Mengapa mereka tidak menggunakan sumber sama untuk sekolah Tingkatan 6 sedia ada?” soalnya.

KPM berkata, penubuhan pusat itu tidak akan menjejaskan pengagihan sumber kepada sekolah lain.

Berhubung kebimbangan Mak mengenai pengambilan guru, KPM berkata, satu kumpulan khusus guru STPM berpengalaman sudah ditugaskan ke pusat itu dan sebarang penugasan semula akan “diuruskan dengan teliti” untuk mengelakkan sekolah sedia ada terjejas.

Katanya, penubuhan pusat itu bukan untuk menggantikan atau mengurangkan keutamaan bagi sekolah Tingkatan 6 sedia ada.

Bulan lalu, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sains Malaysia dilaporkan dipilih untuk projek rintis program STPM yang akan menawarkan dua bidang pengajian: sains dan sains sosial.

Seramai 160 pelajar akan dipilih untuk program rintis yang dijadualkan bermula 10 Jun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.