Polis siasat tindakan bakar karikatur PM pada perhimpunan di Kota Kinabalu

Polis siasat tindakan bakar karikatur PM pada perhimpunan di Kota Kinabalu

Walaupun perhimpunan dianjurkan pelajarnya, UMS nafi terlibat dan akan buat laporan polis.

Himpunan Gempur Rasuah
Perhimpunan Gempur Rasuah 2.0 yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah, pada hujung minggu lepas, diakhiri dengan insiden karikatur PM Anwar Ibrahim dibakar. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis menyiasat tindakan segelintir individu membakar karikatur Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada sebuah perhimpunan anti-rasuah di Kota Kinabalu semalam.

Ketua Polis Sabah Jauteh Dikun berkata, tindakan dipercayai dilakukan peserta perhimpunan, yang terdiri dalam kalangan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), disaksikan oleh ‘ramai pelancong’ kerana berlaku di tempat awam dan menimbulkan rasa takut.

“Sebaik siasatan selesai, kami akan rujuk kertas siasatan itu kepada Jabatan Peguam Negara secepat mungkin untuk tindakan lanjut,” katanya menambah, siasatan dijalankan mengikut Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan, lapor Daily Express.

Perhimpunan Gempur Rasuah 2.0 yang berlangsung pada hujung minggu lepas, anjuran kumpulan Suara Mahasiswa UMS, menarik lebih 100 peserta yang berarak di sekitar bandar raya Kota Kinabalu, membawa plakad memprotes pelbagai isu di Sabah, seperti rasuah dan bekalan air.

Dalam pada itu, UMS berkata, pihaknya akan membuat laporan polis berhubung insiden membakar karikatur perdana menteri itu, yang tular di media sosial baru-baru ini, lapor Bernama.

UMS menegaskan, universiti itu tidak terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan perhimpunan atau insiden tersebut dan laporan polis dibuat agar siasatan lanjut dijalankan.

“Selain bertentangan dengan norma-norma perhimpunan aman, pihak UMS melihat tindakan tersebut sebagai tindakan tidak beradab, kurang matang sekali gus tidak mencerminkan intelek pelajar institusi pengajian tinggi,” menurut universiti itu dalam kenyataan.

UMS turut menolak sekeras-kerasnya sebarang tindakan yang berisiko mendatangkan mudarat, bukan sahaja kepada peserta malah orang awam.

Selain itu, pihak universiti turut menyatakan kekesalan berhubung kenyataan kumpulan terbabit yang mempersoalkan pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.