‘Perlu ada adab’, Wanita PKR kecam tindakan bakar karikatur PM

‘Perlu ada adab’, Wanita PKR kecam tindakan bakar karikatur PM

Exco Wanita Pusat Siti Norffinie Yassin menasihatkan Suara Mahasiswa UMS berhemah dan bijaksana menyuarakan pendirian.

Himpunan Gempur Rasuah anjuran Suara Mahasiswa UMS dikritik penganjurannya kerana berlaku tindakan membakar karikatur Perdana Menteri Anwar Ibrahim. (Gambar Suara Mahasiswa UMS)
PETALING JAYA:
Wanita PKR mengecam kumpulan aktivis pelajar, Suara Mahasiswa UMS membakar karikatur Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam himpunan, yang disifatkan keterlaluan dan melampaui batas adab.

Exco Wanita Siti Norffinie Yassin menegaskan pembinaan negara memerlukan keberanian untuk bercakap benar, namun perlu ada kebijaksanaan dalam memilih cara.

“Kita boleh berbeza pandangan dan tidak bersetuju, namun adab dalam menyuarakan pendirian mesti dipelihara.

“Tindakan yang bersifat provokatif dan mempermainkan simbol kepimpinan negara tidak menyumbang kepada solusi, malah memburukkan lagi jurang persefahaman antara generasi,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata kritikan dan tuntutan ketelusan adalah perkara wajar dalam amalan demokrasi, namun pada masa sama budaya politik kebencian, penghinaan, dan simbolik melampau yang tidak membawa nilai tambah kepada perjuangan rakyat harus ditolak.

“PKR sentiasa komited terhadap reformasi, ketelusan, dan kebertanggungjawaban. Maka, sebarang dakwaan rasuah atau salah laku wajar disiasat oleh pihak berkuasa, tanpa campur tangan politik.

“Saya mengajak semua mahasiswa dan anak muda untuk terus lantang, tetapi dengan berhemah. Jadilah pencetus perubahan yang mendidik, bukan membakar,” katanya.

Perhimpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0 di Kota Kinabalu bermula Sabtu berakhir dengan pembakaran karikatur Anwar.

Malaysiakini melaporkan perhimpunan itu bermula kira-kira 1 tengah hari dan berterusan sehingga 11 pagi semalam dengan lebih 100 peserta menggesa tindakan diambil terhadap Jabatan Air Sabah.

Sementara itu, NGO belia dikenali Mandiri mendakwa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menghalau peserta himpunan yang diadakan di tempat awam dan mengarahkan kain rentang diturunkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.