KP AKPS baharu diumum dalam masa terdekat, kata menteri

KP AKPS baharu diumum dalam masa terdekat, kata menteri

Jawatan ketua pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) kosong sejak 10 Feb susulan persaraan Hazani Ghazali.

Saifuddin Nasution Ismail bercakap kepada media selepas perhimpunan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya.
PUTRAJAYA:
Calon mengisi kekosongan jawatan ketua pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) yang kosong sejak Februari lalu sudah dikenal pasti, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis perhimpunan Kementerian Dalam Negeri, Saifuddin berkata pengganti Hazani Ghazali yang bersara pada 10 Feb lalu akan dibuat dalam masa terdekat.

“Dalam proses (pelantikan), (dalam waktu) terdekat ini kita akan buat pengumuman,” katanya mengulas kebimbangan pelbagai pihak berhubung kelewatan pelantikan peneraju baharu AKPS.

Kebimbangan itu antaranya disuarakan Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) yang menggesa kekosongan itu diisi secepat mungkin.

AKPS menyatukan pelbagai fungsi penguatkuasaan sempadan di bawah satu agensi tunggal untuk meningkatkan kawalan, mengurangkan birokrasi, serta memudahkan proses perdagangan dan perjalanan.

Agensi itu juga memanfaatkan teknologi canggih, termasuk kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan keselamatan dan memperkemas penyampaian perkhidmatan.

Inisiatif itu juga dijangka memberi impak positif kepada kedudukan Malaysia sebagai pintu masuk utama dalam rantau Asean, sambil mempersiapkan negara untuk Tahun Melawat Malaysia 2026.

Hazani menjadi ketua pengarah AKPS yang pertama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.