Kecurian kabel ancam jadual siap ECRL, kata CEO MRL

Kecurian kabel ancam jadual siap ECRL, kata CEO MRL

Darwis Abdul Razak berkata beberapa kejadian kecurian kabel dikesan di lokasi tertentu sepanjang jajaran ECRL merentas Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Kadar kemajuan keseluruhan projek ECRL mencecah 83.38% setakat bulan lalu dan di landasan terbaik untuk disiapkan menjelang Disember 2026. (Gambar Bernama)
BEIJING:
Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menyuarakan kebimbangan berikutan kes kecurian kabel yang boleh menjejaskan perancangan dan jadual operasi tren projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), yang kini di fasa penting menjelang penyempurnaan pada Disember 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Darwis Abdul Razak, berkata beberapa kejadian kecurian kabel dikesan di lokasi tertentu sepanjang jajaran ECRL merentas Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

“Perkara ini bukan saja meningkatkan kos baik pulih dan penggantian, malah berisiko menunda jadual ujian dan pentauliahan tren yang dijangka bermula Jun 2026,” katanya dalam temu bual bersama delegasi media Malaysia di sini.

Media Malaysia berada di sini untuk kunjungan ke ibu pejabat kontraktor utama projek ECRL, China Communications Construction Company Ltd (CCCC) serta ibu pejabat pembuat tren ECRL, CRRC Dalian Locomotive & Rolling Stock Co Ltd (CRRC Dalian) yang juga anak syarikat milik penuh CRRC Corporation.

Projek infrastruktur mega itu milik MRL, anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan), manakala China Communications Construction Company (CCCC) pula kontraktor utama.

Beliau berkata, jika CCCC lewat menyerahkan projek itu yang dijadualkan memulakan operasi pada 2027, syarikat konglomerat berkenaan dijangka mengalami kerugian RM1.25 juta sehari.

Darwis berkata, selaku pemilik projek, MRL membuat laporan polis insiden itu dan sedang mengambil langkah tambahan, termasuk melantik syarikat keselamatan khusus bagi memantau serta melindungi aset ECRL di lapangan.

“Bagaimanapun, kami amat mengharapkan kerjasama berterusan pihak berkuasa dan komuniti setempat untuk bersama membendung jenayah ini. Ini projek nasional yang perlu kita jaga bersama.”

Beliau juga merancang menemui Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail dan ketua polis setiap negeri terbabit bagi mendapatkan kerjasama serta penyelesaian mengatasi masalah itu.

Setakat bulan lalu, katanya, kadar kemajuan keseluruhan projek ECRL mencecah 83.38% dan di landasan terbaik untuk disiapkan menjelang Disember 2026.

Menurutnya, 2025 tempoh paling kritikal dengan kerja pemasangan sistem komunikasi, informasi dan semboyan kini bermula di Stesen Kota SAS (Sultan Ahmad Shah) dan akan diteruskan secara serentak di beberapa stesen lain.

Tetapi, beliau berkata, sejak sistem itu mula dipasang di Stesen Kota SAS pada Mac lalu, projek ECRL sering menjadi sasaran pencuri kabel.

Selain Kota SAS, Darwis berkata, kes kecurian kabel serta beberapa unit transformer turut dilaporkan di kawasan Paya Besar/Gambang, Cherating dan Bandar Pelabuhan Kuantan di Pahang; Chukai, Dungun dan Kemasik di Terengganu serta Pasir Puteh di Kelantan.

Dalam perkembangan lain, katanya, dua set pertama tren Elektrik Pelbagai Gerabak (EMU) bersama dua lokomotif elektrik bagi pengangkutan kargo buatan CRRC Dalian Locomotive & Rolling Stock Co Ltd dijangka tiba di Malaysia akhir tahun ini.

Kumpulan seterusnya akan tiba secara berperingkat mulai April 2026.

“Ujian dan pentauliahan untuk sistem dan tren dijadualkan bermula Jun 2026. Ini fasa penting yang menentukan kesediaan kita memulakan operasi.”

Beliau juga berkata, kerja penembusan bagi 38 terowong berjaya dilaksanakan daripada keseluruhan jajaran projek dan dua lagi penembusan, iaitu Terowong Serendah 2 dan Terowong Berkembar Genting dijangka berjaya dilakukan menjelang akhir bulan ini serta awal bulan depan.

Menurutnya, semua kerja pengambilan tanah bagi laluan utama ECRL dari Kota Bharu, Kelantan hingga ke Pelabuhan Klang, Selangor selesai sepenuhnya, dengan kerjasama kerajaan negeri terbabit.

“Hanya beberapa lot tambahan diperlukan khusus bagi penyesuaian sistem elektrifikasi seperti untuk Tenaga Nasional Bhd, namun jajaran utama telah kita peroleh 100%.”

Selain itu, beliau berkata, perkhidmatan kargo ECRL menerima sambutan memberangsangkan daripada pemain industri logistik.

Setakat ini, katanya, ia menerima komitmen awal antara 800,000 tan hingga sejuta tan bagi tahun pertama operasi yang dijadualkan bermula awal 2027.

Projek ECRL sepanjang 665km merupakan projek infrastruktur terbesar di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) China di Malaysia yang dijangka meningkatkan jaringan pengangkutan serta merangsang pembangunan ekonomi di pantai timur Semenanjung Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.