10 ditahan berkait sindiket tipu pelaburan

10 ditahan berkait sindiket tipu pelaburan

Polis turut merampas enam komputer riba, 14 telefon bimbit, satu modem dan tiga monitor dengan nilai rampasan keseluruhan RM45,000.

Scammer-Hacker
Menurut Ketua Polis Serdang Muhamad Farid Ahmad, pihaknya setakat ini menyiasat empat kes pelaburan tidak wujud melibatkan kerugian hampir RM400,000.
PETALING JAYA:
Polis menahan 10 individu termasuk tiga wanita selepas disyaki terlibat dengan sindiket penipuan pelaburan saham mata wang asing di Bandar Puteri, Puchong, Jumaat lalu.

Ketua Polis Serdang, Muhamad Farid Ahmad, berkata suspek berusia 30 hingga 40 tahun termasuk dalang utama sindiket terbabit ditahan dalam serbuan di sebuah premis pada 2.30 petang.

“Setakat ini, empat kes pelaburan tidak wujud sedang dalam siasatan pihak polis melibatkan kerugian hampir RM400,000,” katanya pada sidang media hari ini, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata polis turut merampas enam komputer riba, 14 telefon bimbit, satu modem dan tiga monitor dengan nilai rampasan keseluruhan RM45,000.

Menurutnya, sindiket terbabit dipercayai bergiat aktif sejak enam bulan lalu dengan menyasarkan warga tempatan, Indonesia dan India sebagai mangsa.

“Semakan ke atas semua suspek mendapati tiada sebarang rekod jenayah lampau dan saringan air kencing juga negatif.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Kita juga menyiasat kes ini di bawah Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai jangan mudah terpedaya dengan sebarang tawaran pelaburan mencurigakan selain menyemak terlebih dahulu aktiviti pelaburan syarikat dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.