Pertanggungjawab pegawai bagi kematian dalam tahanan, kata Aliran

Pertanggungjawab pegawai bagi kematian dalam tahanan, kata Aliran

Kumpulan hak asasi manusia itu seru piawaian profesional bagi tahanan, badan kawal selia untuk pusat tahanan, dan ratifikasi Konvensyen PBB Menentang Penyeksaan.

Anil Netto
Presiden Aliran Anil Netto berucap pada forum Teoh Beng Hock di Pulau Pinang, di mana beliau cadang tiga reformasi mengekang kematian dalam tahanan.
GEORGE TOWN:
Kerajaan diseru melaksanakan reformasi segera menyelesaikan masalah berakar berkait kematian dalam tahanan dan penderaan di Malaysia, menerusi tiga pendekatan dicadangkan kumpulan hak asasi manusia, Aliran.

Presiden Anil Netto ketika berucap pada forum Teoh Beng Hock, di Pulau Pinang, mengkritik alasan lazim ‘kerosakan CCTV’ yang sering digunakan setiap kali timbul dakwaan penderaan dalam tahanan, dan menegaskan pegawai terlibat dalam kematian dalam tahanan mesti dipertanggungjawabkan.

Menyifatkan alasan itu tidak dapat diterima, beliau berkata: “Jika CCTV tidak berfungsi, pegawai bertugas mesti dipertanggungjawabkan. Perlu ada tindakan disiplin. Profesionalisme seperti ini amat penting untuk mengubah budaya penguatkuasaan di negara ini.”

Beliau mencadangkan tiga piawaian diiktiraf di peringkat antarabangsa serta mekanisme pemantauan bebas diterima pakai; Prinsip Mendez bagi teknik soal siasat yang berkesan, penubuhan pemeriksa bebas untuk penjara dan pusat tahanan, serta Ratifikasi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Menentang Penyeksaan.

Netto berkata, prinsip Mendez, satu piawaian antarabangsa dinamakan sempena bekas pelapor khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai penyeksaan, menyeru penggunaan teknik soal siasat tidak bersifat paksaan, strategik, dan berasaskan hak asasi manusia.

Penyiasat harus memulakan wawancara selepas melakukan persediaan sewajarnya. Mereka sepatutnya melayan suspek sebagai tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya, dan memastikan mereka diberikan hak untuk berdiam diri dan mendapatkan khidmat guaman.

“Semua wawancara dan soal siasat perlu direkod audio-visual,” katanya ketika berucap pada forum yang merupakan forum pertama dalam siri jelajah nasional ‘No Further Action’ (Tiada Tindakan Lanjut) bagi mendesak tindakan diambil berhubung kematian dalam tahanan pembantu politik di Selangor, Teoh Beng Hock, pada 2009.

Teoh didapati meninggal dunia di Plaza Masalam di Shah Alam, selepas disoal siasat beberapa jam oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibu pejabat di Selangor. Mendiang dilaporkan jatuh dari tingkat lima.

Teoh Beng Hock
Peserta ‘Lawan Lupa, Keadilan untuk Teoh Beng Hock’ hadir bagi pamer protes ke atas kes itu yang diklasifikasikan sebagai ‘No Further Action’.

“Menerusi tiga reformasi berkenaan, ia akan banyak membantu mencegah kejadian seperti itu daripada berulang,” kata Netto.

Beliau berkata, individu ditahan tanpa bicara di hampir 90 lokasi tahanan di seluruh negara, termasuk penjara, pusat tahanan imigresen, dan pejabat SPRM. Mereka yang ditahan — termasuk yang sedang dibicarakan dan pendatang tanpa dokumen — sering tersembunyi daripada pemantauan awam, katanya.

“Satu badan pemeriksa bebas boleh memastikan bahawa keadaan hidup mereka, pemakanan, akses kepada peguam, dan layanan terhadap tahanan memenuhi piawaian asas hak asasi manusia,” katanya. Badan pemeriksa itu bukan sahaja perlu melindungi tahanan, tetapi juga memantau kebajikan kakitangan penjara yang mungkin bekerja dalam keadaan tekanan tinggi.

Netto mengesyorkan badanm itu melapor secara langsung kepada Parlimen atau jawatankuasa pilihan khas, dengan laporan berkala dibentang dan diumumkan kepada orang awam. Katanya, model sama telah wujud di Australia, New Zealand, United Kingdom, dan Ireland.

Mengulas mengenai ratifikasi konvensyen PBB yang mana Malaysia menandatanganinya pada 2015, Netto berkata banyak negara lain yang mempunyai sistem perundangan dan cabaran keselamatan yang serupa, telah pun mengesahkan perjanjian tersebut. “Konvensyen tersebut melarang sebarang bentuk kesakitan melampau dan penyeksaan sama ada semasa dalam tahanan atau di mana-mana sahaja,” katanya.

Katanya, reformasi dicadangkan bukan radikal, bahkan tahap minimum yang patut dilaksanakan kerajaan bertamadun dan berjiwa reformasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.