Pakar cadang naik cukai produk rokok, vape untuk kurangkan akses

Pakar cadang naik cukai produk rokok, vape untuk kurangkan akses

Perunding kesihatan awam berpandangan akan ada insentif untuk berhenti guna rokok dan vape apabila harga jadi mahal.

vape
Pakar kesihatan cadang kerajaan naikkan cukai eksais bagi produk merokok dan rokok elektronik. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang perunding kesihatan awam mencadangkan kerajaan mengurangkan akses kepada produk merokok dan rokok elektronik dengan menaikkan cukai eksais.

Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata peningkatan cukai eksais, yang menurutnya tidak dinaikkan selama lebih 10 tahun, itu harus signifikan supaya harga rokok dan vape menjadi mahal.

“Bila harga rokok dan vape mahal akan ada insentif untuk berhenti,” katanya kepada FMT.

Pada Rabu lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata penularan dadah dan penggunaan rokok elektronik dalam kalangan generasi muda perlu dibincangkan secara serius serta dirangka jalan penyelesaian yang tuntas.

Anwar menegaskan, masalah yang berlarutan sejak sekian lama itu belum menemui penyelesaian berkesan, meskipun pelbagai pendekatan digerakkan sebelum ini.

“Masih belum terlambat untuk kerajaan menangani isu penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan generasi muda,” kata Lokman.

Sementara itu, seorang doktor senada berhubung menaikkan cukai untuk mengurangkan kebolehcapaian, dalam menangani isu penggunaan vape dalam kalangan belia.

Dr Sathia Prakash Nadarajan bagaimanapun menambah ia harus bersekali dengan penguatkuasaan yang tegas.

“Tindakan terhadap penjual tidak bertanggungjawab juga perlu diambil. Pihak berkuasa juga digesa memantau penjualan dalam talian dan kedai runcit yang menjual kepada bawah umur.

“Hukuman mesti tegas dan bukan sekadar denda, tetapi termasuk penarikan lesen perniagaan,” katanya.

Sathia berkata suatu pendekatan menyeluruh diperlukan dalam menyelesaikan masalah ini, menggandingkan dasar kerajaan, pendidikan, penguatkuasaan, dan peranan komuniti.

Pemuda Umno baru-baru ini memohon Perdana Menteri Anwar Ibrahim lihat kembali cadangan ‘generasi penamat rokok’, mengatakan penjualan vape semakin berleluasa akibat tiada akta yang boleh mengawalnya.

Ia turut menyentuh langkah Kementerian Kesihatan (KKM) mengecualikan nikotin termasuk tembakau, tampalan dan gula-gula getah, cecair dan gel nikotin daripada Akta Racun.

Sebelum ini, nikotin, dengan pengecualian kepada tembakau, diklasifikasikan sebagai racun Kumpulan C yang hanya boleh dijual doktor dan ahli farmasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.