
Peguamnya, Shafee Abdullah, berkata sebagai pelan alternatif, Najib boleh memohon parol pada September atau Oktober ini.
“Peluang untuk mendapatkan parol itu agak tinggi kerana jika ambil kira enam tahun hukuman (penjara) dikurangkan, dua tahun automatik dia sudah dapat ‘automatic remission’.
“Dia sudah penjara tiga tahun, jadi tinggal setahun lagi. Dia boleh buat parol,” katanya dalam acara ‘Townhall Rakyat: Antara Dua Titah’.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan moderator, Kamarudin Ahmad, berhubung tarikh jangkaan Najib akan dibebaskan jika semakan kehakiman beliau menjalani baki tempoh pemenjaraan bawah tahanan di rumah gagal.
Prosiding rayuan peguam negara berhubung semakan kehakiman bagi mengesahkan kewujudan titah adendum akan didengar selama dua hari bermula 1 Julai ini.
Pada 28 Apr lalu, peguam negara diberi kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Najib memulakan semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab mengenai kewujudan Titah Adendum — dokumen yang dikatakan memperkenan Najib menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Pada 6 Jan lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab serta mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh Januari tahun lalu.
Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Dalam pada itu, Shafee berkata Najib satu contoh tahanan yang baik dari segi kelakuan.
Beliau juga berkata Najib sedang melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah di dalam penjara, dan tidak melihat ada sebab yang boleh menafikan beliau mendapat parol.
“PhD beliau pula berkaitan dengan pembangunan negara. Ramai yang datang dan berbincang dengannya. Dalam banyak hal, beliau adalah contoh banduan yang cemerlang,” katanya.