Johari arah industri perladangan ambil anak tempatan dulu

Johari arah industri perladangan ambil anak tempatan dulu

Menteri perladangan dan komoditi berkata pemain industri perlu kemuka bukti pengambilan pelajar TVET sebelum permohonan pekerja asing dipertimbang.

JOHARI_ABDUL_GHANI
Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Abdul Ghani, berkata negara berdepan situasi banyak industri enggan mengambil pelajar TVET untuk bekerja.
PETALING JAYA:
Kementerian Perladangan dan Komoditi menetapkan prasyarat kepada pemain industri perladangan supaya mengambil pelajar lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang berkaitan sebelum dibenarkan menggaji pekerja asing.

Menteri Johari Abdul Ghani, berkata pemain industri perlu mengemukakan bukti pengambilan pelajar TVET kepada kementerian terlebih dahulu, sebelum permohonan pengambilan pekerja asing dipertimbangkan.

“Kita sedang berdepan dengan situasi di mana banyak industri enggan mengambil pelajar lepasan latihan ini untuk bekerja. Mereka tidak mahu memberi peluang kepada pelajar memperoleh pengalaman, sebaliknya mahu cara yang mudah.

“Walaupun kerajaan telah meluluskan pengambilan pekerja asing bagi sektor perladangan, saya tidak akan benarkan jika pihak industri langsung tidak memberi sumbangan kepada pembangunan anak tempatan,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi dialog bersamanya anjuran kementerian, di Kuala Kangsar.

Johari berkata, kementerian menyasarkan untuk melatih kira-kira 250 pelajar TVET dalam bidang perladangan setiap tahun, sebelum menempatkan mereka mengikut keperluan industri.

Katanya, pemain industri pula bertanggungjawab untuk terus melatih pelajar ini sehingga mereka mahir dan berpotensi menjadi pakar dalam bidang masing-masing.

“Saya ingin memuji Sime Darby dan FGV atas komitmen mereka yang telah mengambil inisiatif menyediakan tempat tinggal serta gaji yang menarik kepada pelajar-pelajar ini. Walaupun mereka tidak melanjutkan pengajian ke universiti, mereka masih boleh memperoleh pendapatan sehingga RM2,500 sebulan.

“Jika mereka menyambung ke TVET Tahap 3 selama lapan bulan lagi, gaji mereka boleh meningkat sehingga RM3,500. Sekurang-kurangnya kita bantu mereka membina kerjaya. Kalau tidak, kasihan pelajar-pelajar ini, kerana apa yang dijanjikan kepada mereka tidak ditunaikan. Lebih teruk, jika pihak industri langsung tidak mahu mengambil mereka bekerja,” katanya.

Beliau menambah, ketika ini terdapat hampir 260,000 pekerja asing yang mentadbir ladang-ladang di negara ini.

“Ini sektor yang sangat penting kerana ia merupakan penyumbang ketiga terbesar kepada eksport negara. Sektor komoditi menyumbang kira-kira RM168 bilion nilai eksport. Jadi, kita mahu pemain industri turut memikul tanggungjawab membela masa depan anak-anak tempatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.