3 cedera bas persiaran terbabas turun Genting Highlands

3 cedera bas persiaran terbabas turun Genting Highlands

Kejadian berlaku ketika bas persiaran terbabit membawa 25 penumpang dari Genting Highlands ke Serdang, Selangor.

Bas persiaran dinaiki 25 penumpang terbabas dan merempuh besi penghadang ketika menuruni bukit di Genting Highlands malam semalam. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Seorang pemandu bas persiaran dan dua penumpangnya cedera selepas kenderaan itu terbabas dan merempuh besi penghadang jalan dalam kejadian di
Kilometer 12 Jalan Genting-Bentong, kira-kira 7.45 malam semalam.

Ketua Polis Bentong, Zaiham Mohd Kahar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu daripada orang awam sebelum ke lokasi kejadian.

Katanya, kejadian berlaku ketika bas membawa 25 penumpang itu dalam perjalanan menuruni bukit dari Genting Highlands menuju ke Serdang, Selangor.

“Siasatan awal mendapati bas terbabit dipercayai hilang kawalan ketika melalui satu selekoh sebelum terbabas dan melanggar besi penghadang jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, menurut Berita Harian.

Menurutnya, tiga yang cedera itu kemudiannya dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan lanjut.

“Penumpang lain dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Tiada kenderaan lain terbabit dalam kemalangan itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.