
Wong Chin Huat berkata pendekatan itu sama seperti dibawa bekas mursyidul Am PAS Nik Aziz Nik Mat yang disenangi ramai sehingga dapat menarik sokongan kepada parti itu.
Saintis politik dari Sunway University berkata, ‘isyarat’ yang dibaca masyarakat bukan Melayu bukan daripada Gerakan atau MIPP yang dilihat sebagai pengikut tetapi pendirian pemimpin tertinggi PAS serta Bersatu, sebagai tunjang PN.
Katanya, Gerakan dan MIPP disifatkan tidak mempunyai kredibiliti oleh masyarakat Cina dan India.

“Kalau pimpinan tertinggi PN konsisten dalam menonjolkan mesej keterangkuman seperti Allahyarham Nik Aziz, mungkin ada kesan.
“Namun, ia mengambil masa 10 tahun kerana PAS dan PN telah kehilangan kepercayaan komuniti minoriti dengan naratifnya yang menyakit hati (sentimen perkauman dan keagamaan),” katanya kepada FMT.
“Kalau ramai tak mahu mengundi kerana kecewa, PN juga ada peluang menang terutamanya di kawasan PKR dan Amanah.”
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha PN Selangor Dr Afif Bahardin yang PN mampu merampas 10 DUN tambahan termasuk kerusi bercampur yang gagal ditawan pada PRN 2023.
Menurut Adun Taman Medan itu, parti komponen Gerakan dan MIPP akan memainkan peranan menarik sokongan bukan Melayu di kerusi campuran.
Pada PRN 2023, PN menang di 22 DUN yang kesemua kerusi itu majoriti pengundi Melayu.

Mazlan Ali pula menyifatkan hasrat PN menawan kerusi bercampur khususnya di Selangor tidak realistik kerana kecenderungan majoriti pengundi bukan Melayu ketika ini.
“Mereka tidak sokong mana-mana parti ada kaitan dengan PAS,” kata ahli akademik dari Universiti Teknologi Malaysia.
Beliau berkata, keraguan terhadap keupayaan Gerakan dan MIPP menarik sokongan bukan Melayu juga menyulitkan hasrat PN.