
Timbalan Ketua Zon I Bomba Johor, Rosfarawadi Ismani Ismail berkata premis yang terbabit dalam kebakaran itu adalah stor simpanan minyak hitam terpakai, premis kitar semula, premis membuat sabun, tempat letak parkir lori dan stor barang pembinaan, lapor Bernama.
“Antara yang musnah termasuk tujuh lori tangki, lima buah motosikal dan tiga kenderaan peribadi,” katanya yang dipetik sebagai berkata.
Rosfarawadi berkata buat masa ini kebakaran berjaya dikawal namun operasi pemadaman diteruskan bagi memastikan tiada sisa api yang boleh mencetuskan semula kebakaran.
“Punca kebakaran masih awal untuk dikenal pasti namun berdasarkan keterangan pekerja, kebakaran dipercayai berpunca dari kawasan kitar semula dan simpanan minyak enjin.
“Arahan pengosongan kediaman penduduk berhampiran dibuat bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.
Katanya, penduduk akan dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing selepas kawasan itu selamat sepenuhnya.
Menurut Bernama lagi, kira-kira 20 keluarga yang tinggal di sekitar Taman Megah Ria, berhampiran lokasi kebakaran, diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing buat sementara waktu sehingga operasi pemadaman selesai sepenuhnya.
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba Johor dalam satu kenyataan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.54 tengah hari dan jentera pertama tiba di lokasi pada 1.06 tengah hari.
Katanya, seramai 34 anggota terlibat dalam operasi membabitkan anggota dan aset dari Balai Bomba Pasir Gudang, Johor Jaya, Tebrau, Kota Tinggi, Larkin selain Pasukan Bomba Sukarela Mount Austin dan Ulu Tiram.