Spesies ikan lumba-lumba terancam mati tersangkut pukat pari

Spesies ikan lumba-lumba terancam mati tersangkut pukat pari

Ikan lumba-lumba Irrawaddy itu ditemui tersangkut pada pukat haram ditinggalkan nelayan di perairan Kuala Kedah semalam.

Anggota Maritim Malaysia menunjukkan ikan lumba-lumba Irrawaddy yang ditemui mati tersangkut pada pukat pari yang ditinggalkan nelayan di perairan Kuala Kedah, semalam. (Gambar APMM)
PETALING JAYA:
Seekor ikan lumba-lumba dari spesies marin terancam yang semakin pupus di perairan Asia Tenggara, ditemui mati akibat tersangkut pada pukat pari haram ditinggalkan nelayan di perairan Kuala Kedah, semalam.

Penemuan bangkai ikan lumba-lumba Irrawaddy itu dilaporkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Kuala Kedah yang menjalankan rondaan rutin kira-kira 1.1 batu nautika dari muara Kuala Kedah.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Noor Azreyanti Ishak berkata hasil pemeriksaan mendapati terdapat pukat pari bernilai kira-kira RM2,000 digunakan secara haram, mengakibatkan ikan lumba-lumba itu terperangkap dan mati.

“Pukat pari ini diwartakan haram di bawah Akta Perikanan 1985 kerana sifatnya yang tidak selektif. Ia bukan sahaja memerangkap pari dan anak ikan, tetapi turut mengancam spesies marin dilindungi seperti ikan lumba-lumba Irrawaddy,” katanya dalam kenyataan.

Ikan lumba-lumba Irrawaddy (Orcaella brevirostris), atau lebih dikenali sebagai Empesut, merupakan spesies unik yang populasinya semakin pupus dan amat sukar dikesan.

Rampasan itu adalah keenam melibatkan pukat pari yang berjaya dilakukan Zon Maritim Kuala Kedah tahun ini, sekali gus menggambarkan peningkatan usaha penguatkuasaan terhadap penggunaan alat tangkapan haram.

Azreyanti berkata penggunaan pukat pari bukan hanya mengancam ikan pari yang memainkan peranan penting sebagai pemangsa dasar laut, tetapi juga menjejaskan rantaian makanan marin secara keseluruhan.

“Jika aktiviti ini tidak dibendung, spesies seperti pari dan ikan lumba-lumba akan pupus. Ini mengganggu keseimbangan alam laut secara keseluruhan, satu situasi yang sangat membimbangkan,” katanya.

Sehubungan itu, Maritim Malaysia menyeru komuniti nelayan dan masyarakat agar lebih prihatin terhadap kepentingan pemuliharaan biodiversiti laut serta segera melaporkan sebarang aktiviti penangkapan haram melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di 04-7310579.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.