
James Chin dari Universiti Tasmania berkata pertelingkahan itu adalah antara Presiden PDP Tiong King Sing dan Presiden SUPP Dr Sim Kui Hian yang mahu meluaskan pengaruh parti mereka.

“Sangat tidak mungkin parti pembangkang dapat mengambil kesempatan atas pertelingkahan ini,” kata Chin yang menambah bahawa kawasan yang menjadi pertikaian dua parti itu bukan sebahagian pengundi asas pembangkang.
“Ba’kelalan merupakan kawasan Orang Ulu, manakala Engkilili dan Bawang Assan adalah kawasan majoriti Dayak,” katanya kepada FMT.
Katanya, PDP kini lebih yakin selepas menerima masuk ahli daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang dibubarkan, dan kini cuba memperluas pengaruh ke kawasan tradisi SUPP yang majoriti pengundi Cina bandar. PDP secara tradisi di kawasan Dayak.
Pada PRN 2021, Tiong bertanding atas tiket GPS dan menang di Dudong – kerusi tradisi SUPP, sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin SUPP.
Ketegangan semakin memuncak antara dua parti itu apabila, Ketua SUPP Dudong Wong Ching Yong mengisytiharkan ia sebagai ‘konflik terbuka’ pada Isnin lalu.
Tahun lalu, tiga Adun PSB menyertai PDP, membawa tiga kerusi tradisi SUPP. PSB sebelum ini diterajui oleh Wong Soon Koh sebelum parti serpihan SUPP itu dibubarkan. Selepas menyertai PDP, Wong dilantik sebagai naib presiden parti itu.
Chin berkata PBB, parti dominan dalam GPS, dijangka tidak akan campur tangan dalam konflik ini, dan mungkin hanya memerhati situasi dengan ‘gembira’.
Bagaimanapun, penganalisis sosio politik dari Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi berkata PBB tidak akan membiarkan pertikaian itu berlarutan, dan akan berunding secara tertutup bagi mencari penyelesaian antara kedua-dua parti.

Katanya, PDP mahu kerusi Engkilili, Bawang Assan dan Ba’kelalan kerana percaya SUPP gagal membuat kemajuan di Engkilili, Bawang Assan, manakala di Ba’kelalan pula, PDP menjalankan banyak gerak kerja dalam kalangan komuniti Lun Bawang dan etnik lain.
Awang Azman berkata agihan kerusi bergantung kepada prestasi terdahulu dan sumbangan setiap parti kepada GPS serta penerimaan mereka dalam kalangan akar umbi.
Chin menambah bahawa terlalu awal untuk meramal parti mana akan bertanding di kerusi itu kerana rundingan kerusi belum bermula. Namun, GPS lazimnya membenarkan penyandang bertanding semula di kerusi mereka.