
Beliau sekali gus mengarahkan semua warga Kedutaan Malaysia di negara sedang bergolak itu pulang ke tanah air segera.
Malah, Mohamad mengesahkan banyak kedutaan negara lain juga sudah berbuat demikian susulan perkembangan terbaru yang menyaksikan peningkatan ketegangan konflik Iran-Israel.
“Saya telah mengarahkan semua warga kedutaan, termasuk duta…semua rakyat Malaysia telah diminta keluar dari Iran.
“Namun, ada yang masih tidak mahu keluar, termasuk tiga pelajar di Qom dan seorang di Isfahan kerana berada jauh dari Tehran,” katanya menurut Berita Harian.
Terdahulu, media melaporkan tentera Israel melancarkan gelombang serangan udara ke atas beberapa lokasi strategik di Iran, awal pagi ini.
Ia termasuk kemudahan nuklear, pangkalan peluru berpandu dan pusat kawalan tentera, dalam apa yang digambarkan sebagai ‘serangan pembukaan yang berjaya’ oleh Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.
Serangan itu adalah tindak balas terhadap pelancaran peluru berpandu oleh Iran ke atas Israel, beberapa jam sebelumnya.
Rabu lalu, Jurucakap Kerajaan Fahmi Fadzil dilaporkan berkata rakyat Malaysia di Iran dijangka dipindahkan keluar dengan bantuan kerajaan, seawal Jumaat.
Beliau berkata, menteri luar memaklumkan jumlah rakyat Malaysia sama ada pelancong, pelajar atau yang bekerja di sana tidak terlalu ramai.
Semalam, Mohamad dilaporkan berkata, rakyat Malaysia yang terkandas di Iran akibat ketegangan Iran-Israel, dijangka menempuh perjalanan selama 13 jam untuk sampai di Turkmenistan, iaitu kawasan sempadan terdekat negara berkenaan.
Mohamad juga dipetik berkata, kementeriannya sudah menguruskan pemindahan rakyat Malaysia dari Tehran menggunakan laluan darat selepas semua penerbangan dari ibu negara Iran itu tidak lagi dibenarkan beroperasi.