
Saarani berkata pembaikan jalan raya yang sudah uzur itu secara tampalan tidak sesuai lagi digunakan, lapor Berita Harian.
“Daripada hanya menampal, kerajaan persekutuan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) sepatutnya mempertimbangkan pembinaan semula sepenuhnya dan menaik taraf lebuh raya itu.
“Strukturnya sudah lama, dan di beberapa kawasan, kerosakan juga sudah sampai ke lapisan asas. Pembaikan mudah tidak lagi mencukupi,” katanya yang dipetik sebagai berkata di satu acara di Ipoh.
Katanya, beliau membangkitkan isu itu kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim sewaktu lawatan ke Manjung, 15 Jun lalu.
“Perdana menteri mengakui kebimbangan kita tetapi menyatakan kos yang terbabit adalah tinggi. Namun, kerajaan negeri sudah menyatakan pendirian rasmi kami,” katanya.
Ketika ditanya sama ada cadangan itu boleh dimasukkan dalam RMK13, Saarani berkata: “Kita sedang berusaha memastikan ia dimasukkan dalam RMK13 kerana ia adalah satu keperluan yang mendesak.”
Pada 11 Jun lalu, Saarani berkata, cadangan untuk membina lebuh raya baharu atau mewujudkan laluan alternatif akan dikemukakan kepada Putrajaya, susulan peningkatan jumlah kemalangan di JRTB.
Katanya, kerajaan negeri juga memohon Kementerian Kesihatan untuk menaik taraf Hospital Gerik dan kemudahannya, berikutan kekerapan kemalangan jalan raya di lebuh raya itu.
“Ramai pesakit kritikal kini perlu dipindahkan ke (hospital di) Taiping atau Ipoh dan ia boleh mengambil masa sehingga dua jam. Kelewatan itu boleh membawa maut,” katanya.
Pada awal bulan ini, 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris maut dan 33 lagi cedera selepas bas yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik di JRTB dekat Gerik.