Malaysia giat teroka pasaran baharu minyak sawit, kata Johari

Malaysia giat teroka pasaran baharu minyak sawit, kata Johari

Menteri perladangan dan komoditi itu berkata pasaran utama sedia ada ketika ini terjejas berikutan konflik geopolitik.

johari abdul ghani
Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Abdul Ghani juga menyeru pengusaha ladang dan pekebun kecil kelapa sawit bekerjasama memastikan industri komoditi negara kekal berdaya tahan. (Gambar Facebook)
KOTA BHARU:
Kerajaan mengambil langkah segera dengan giat meneroka pasaran baharu melibatkan negara yang belum pernah membeli minyak sawit Malaysia sebagai usaha mengurangkan kebergantungan kepada pasaran utama sedia ada yang terjejas berikutan konflik geopolitik.

Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Abdul Ghani berkata krisis antara Israel dan Iran serta Rusia-Ukraine yang masih berlarutan menjejaskan penghantaran eksport termasuk produk minyak sawit negara ke kawasan bergolak.

“Malaysia kini mengeksport barangan bernilai RM186 bilion setahun ke seluruh dunia, termasuk minyak sawit, namun sebahagian daripada pasaran itu kini berada dalam zon risiko tinggi akibat konflik bersenjata.

“Jadi, kita mengambil langkah meneroka pasaran baharu iaitu negara yang sebelum ini belum pernah membeli minyak sawit atau minyak masak dari Malaysia. Usaha ini penting untuk memastikan eksport kita kekal stabil,” katanya di Program Dialog @KPK Bersama penuntut Kolej Poly-tech Mara (KPTM) Kota Bharu.

Dalam masa sama, beliau menyeru semua pengusaha ladang dan pekebun kecil bekerjasama dengan kerajaan dalam usaha memastikan industri komoditi negara kekal berdaya tahan.

Beliau berkata pekebun kecil dan pengusaha ladang perlu bersama-sama kerajaan menghadapi cabaran yang kini wujud di peringkat antarabangsa.

“Pasaran Eropah kini semakin mengutamakan aspek kelestarian alam sekitar dan amalan mesra biodiversiti dalam proses pembelian minyak sawit.

“Kalau mahu memasuki Eropah, kita perlu buktikan ladang kita mengikut standard mereka, perlu menjaga biodiversiti dan patuh kepada prinsip kelestarian,” katanya.

Beliau berkata perkhidmatan dan keupayaan untuk memenuhi kehendak pembeli perlu diberi tumpuan supaya pembeli baharu boleh menjadi pelanggan tetap dalam jangka masa panjang.

“Kita mahu mereka membeli lebih banyak dari kita, dan perkhidmatan kepada mereka juga sangat penting,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.