KPN baharu tak pernah jadi ahli PKR, kata Fuziah

KPN baharu tak pernah jadi ahli PKR, kata Fuziah

Setiausaha Agung Fuziah Salleh berkata penyebaran profil salah dan berkait dengan parti politik boleh menjejaskan imej serta kredibiliti ketua polis negara.

khalid ismail
Khalid Ismail, 60, yang dilantik sebagai KPN ke-15 semalam pernah memegang pelbagai jawatan penting dalam Cawangan Khas PDRM. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Khalid Ismail yang dilantik sebagai ketua polis negara baharu, berkuat kuasa semalam, tidak pernah menjadi ahli PKR apatah lagi memegang sebarang jawatan dalam parti seperti disiarkan di media sosial sebuah akhbar tempatan semalam.

Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, berkata penyebaran profil yang salah dan berkait dengan parti politik boleh menjejaskan imej serta kredibiliti ketua polis negara.

“…selain boleh menimbulkan persepsi negatif kepada PKR sebagai parti pemerintah jika terdapat rakyat mempercayai bahawa lantikan Khalid dibuat atas dasar lantikan politik.

“PKR kesal atas kesilapan maklumat profil Ketua Polis Negara ke-15 Khalid Ismail di dalam media sosial itu yang memaparkan beliau pernah menjadi ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR dan pernah memegang jawatan pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Kedah,” katanya dalam kenyataan, menurut Bernama.

Beliau berkata, PKR berpendirian kesilapan itu tidak wajar berlaku dan menggesa siasatan dalaman dijalankan pihak akhbar terbabit.

Fuziah turut menyertakan lampiran senarai Pengerusi MPN Kedah mengikut tahun lantikan.

Khalid, 60, yang dilantik sebagai KPN ke-15 menggantikan Razarudin Husain pernah memegang pelbagai jawatan penting dalam Cawangan Khas PDRM termasuk ketua Cawangan Khas Pahang bermula 25 Mei 2018, sebelum dilantik sebagai ketua penolong pengarah E2 Cawangan Khas Bukit Aman pada 6 Sept 2021.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.