Konflik Iran-Israel boleh sebabkan rakyat Malaysia bayar lebih untuk barang runcit

Konflik Iran-Israel boleh sebabkan rakyat Malaysia bayar lebih untuk barang runcit

Tiga ahli ekonomi berkata rakyat akan mula terasa beban jika konflik di Timur Tengah menyebabkan harga minyak mencecah USD120 setong.

panic buying shopping super market
Pakar ekonomi Barjoyai Bardai berkata harga makanan di Malaysia boleh meningkat 10% jika harga minyak global mencecah USD110.
PETALING JAYA:
Rakyat Malaysia mungkin terpaksa membayar lebih untuk barangan runcit jika ketegangan di Timur Tengah terus memuncak, kata ahli ekonomi.
Barjoyai Bardai
Barjoyai Bardai.

Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School dan Yeah Kim Leng dari Sunway University berkata, rakyat akan mula terasa beban sekiranya konflik antara Israel dan Iran menyebabkan harga minyak mencecah USD120 setong.

Mereka menjelaskan, lonjakan harga minyak sedemikian akan mencetuskan peningkatan kos pengangkutan dan makanan.

“Walaupun harga minyak global hanya mencecah USD110, harga makanan di Malaysia boleh naik sebanyak 10%,” kata Barjoyai kepada FMT.

Beliau berkata, walaupun Malaysia adalah pengeksport minyak bersih, negara tetap terdedah kepada gangguan rantaian bekalan, terutama jika Iran bertindak menyekat Selat Hormuz, laluan penting bagi penghantaran minyak dunia.

“Kos logistik akan meningkat, bekalan berkurangan, dan harga akan naik,” katanya.

Pada Khamis, CNBC melaporkan niaga hadapan minyak mentah melonjak lebih 1% selepas Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, mengarahkan tenteranya meningkatkan serangan terhadap Iran.

Pada hari sama, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi jaminan kerajaan tidak akan menaikkan harga petrol RON95 walaupun harga minyak mentah global meningkat secara mendadak akibat ketegangan geopolitik di Timur Tengah.

Barjoyai memuji keputusan kerajaan mengekalkan struktur subsidi bahan api semasa dan komitmennya melaksanakan rancangan subsidi bersasar RON95.

Namun, beliau berkata pelaksanaan itu mungkin perlu ditangguhkan.

“Kerana jika harga minyak naik, perbelanjaan kerajaan juga akan meningkat. Kos barangan akan turut naik kerana perniagaan akan mengambil kira kos pengangkutan yang lebih tinggi.”

Ahmed Razman Abdul Latiff.
Ahmed Razman Abdul Latiff.

Razman berkata, harga minyak yang tinggi akan memberi manfaat kepada syarikat minyak nasional Petronas dan meningkatkan hasil negara. Namun, ia juga akan menyebabkan peningkatan perbelanjaan kerajaan untuk mengekalkan subsidi bahan api.

“Harga bahan api memberi kesan kepada semua industri. Kos operasi akan naik, dan kebanyakan perniagaan akan memindahkan kos itu kepada pengguna.

“Tenaga menggerakkan segala-galanya, daripada pengangkutan sehingga makanan dan perumahan. Rakyat Malaysia perlu bersedia untuk separuh kedua tahun yang lebih mencabar,” katanya memaklumkan walaupun kadar inflasi kekal bawah 3%, golongan B40 dan M40 akan tetap terasa tekanannya.

Yeah berkata, Malaysia sebagai pengeksport minyak bersih, berpotensi meraih keuntungan daripada kenaikan harga minyak.

“Jika harga minyak naik, peningkatan hasil daripada Petronas boleh membantu mengimbangi beban subsidi. Namun, perbelanjaan kerajaan tetap akan melebihi hasil.”

Beliau berkata, situasi serupa pernah berlaku pada 2022 apabila harga minyak mencecah sekitar USD100.

“Bil subsidi kita hampir tiga kali ganda daripada RM20 bilion kepada RM30 bilion. Jika harga minyak mencecah USD120, keadaan itu mungkin berulang.”

Yeah Kim Leng
Yeah Kim Leng.

Yeah turut memberi amaran, serangan ke atas infrastruktur dan kemudahan minyak terutama melibatkan Iran dan Israel, boleh mencetuskan kekurangan bekalan global.

“Jika pengeluar di Timur Tengah mengurangkan pengeluaran atau jika laluan penghantaran di Teluk Parsi terganggu, kita bakal menyaksikan kejutan bekalan yang besar. Harga minyak boleh dengan mudah melepasi USD100 setong.”

Yeah berkata, situasi seperti itu akan memberi kesan inflasi meluas dan boleh menyebabkan pengguna mengurangkan perbelanjaan, yang akhirnya boleh memperlahankan ekonomi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.