19,000kg beras gagal diseludup dari Thailand

19,000kg beras gagal diseludup dari Thailand

Anggota PGA mengesan beberapa individu sedang memunggah guni ke dalam treler di Jalan Kampung Air Gatal, Tanah Merah, Kelantan.

Rampasan beras termasuk treler dianggarkan bernilai RM426,000 diserahkan kepada Kawalselia Padi dan Beras Kelantan untuk tindakan selanjutnya. (Gambar PGA)
KOTA BHARU:
Pasukan Gerakan Am (PGA) menggagalkan cubaan menyeludup 19,000kg beras putih dari Thailand ketika melakukan rondaan Op Taring Wawasan di Jalan Kampung Air Gatal, Tanah Merah, semalam.

Komander Briged Tenggara PGA, Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata dalam operasi kira-kira 4 pagi itu, sepasukan anggota Batalion 9 mengesan beberapa individu sedang memunggah guni ke dalam treler di lokasi berkenaan.

Beliau berkata, semua suspek melarikan diri ke kawasan semak berhampiran sebaik menyedari kehadiran anggota keselamatan yang sedang melakukan rondaan.

“Barang rampasan termasuk treler dianggarkan bernilai RM426,000 dan diserahkan kepada Kawalselia Padi dan Beras Kelantan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994.

Sementara itu, Nik Ros Azhan berkata pihaknya turut menggagalkan cubaan menyeludup 11 lembu selepas menahan sebuah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di Kampung Telaga Bata, Tumpat, Khamis lalu.

“Pemandu gagal menunjukkan sebarang dokumen yang sah berkaitan lembu berkenaan. Pemandu warga tempatan berusia 28 tahun yang dipercayai menjadi penghantar lembu, turut ditahan,” katanya.

Beliau berkata, rampasan dianggarkan bernilai RM151,000 termasuk lori dan hasil rampasan diserahkan kepada Jabatan Veterinar Kelantan untuk tindakan selanjutnya, manakala kes disiasat bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.