Tarif ‘lebih adil’ bakal manfaat 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung

Tarif ‘lebih adil’ bakal manfaat 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung

Kadar itu akan dikenakan dari 1 Julai 2025 hingga 31 Dis 2027 di bawah tempoh kawal selia keempat, kata Suruhanjaya Tenaga.

tnb meter
Suruhanjaya Tenaga berkata tarif baharu mengecualikan pengguna domestik di bawah 1,000kWj bagi menggalakkan penggunaan elektrik secara cekap.
PETALING JAYA:
Seramai 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia bakal menikmati kadar tarif elektrik lebih adil, sekali gus mengurangkan kos sara hidup menerusi kadar baharu diluluskan kerajaan.

Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam kenyataan berkata, jadual tarif baharu itu antara lain akan memanjangkan tempoh penggunaan luar waktu puncak kepada sepanjang Sabtu dan Ahad, serta dari 10 malam hingga 2 petang setiap Isnin hingga Jumaat.

“Langkah ini bagi menggalakkan pengurusan penggunaan elektrik lebih berkesan, selaras usaha ke arah sistem tenaga lebih cekap dan mampan.

“Pengguna menggunakan elektrik pada luar waktu puncak akan menikmati penjimatan lebih banyak pada bil elektrik mereka,” menurut kenyataan itu.

ST berkata, tarif baharu berkuat kuasa 1 Julai hingga 31 Dis itu turut menyaksikan purata tarif asas diselaraskan kepada 45.50 sen/kWj, berbanding 45.62 sen/kWj yang diluluskan pada Disember 2024.

Tarif asas purata ini terdiri daripada caj rangkaian dan runcit sebanyak 12.98 sen/kWj dan caj penjanaan sebanyak 32.42 sen/kWj, dengan tambahan sehingga 10% bergantung kepada insentif bagi penggunaan cekap tenaga.

“Dengan pelarasan ini, jumlah kos purata tarif elektrik (dalam tempoh kawal selia Keempat) 30% lebih rendah berbanding tempoh kawal selia ketiga,” katanya.

Menurut ST, mekanisme pelarasan bahan api automatik akan menggantikan mekanisme Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) yang sebelum ini membolehkan pelarasan caj penjanaan berdasarkan harga pasaran semasa dan kadar tukaran mata wang.

“Berdasarkan unjuran sehingga akhir tahun, kami percaya pelarasan tidak akan melebihi 3 sen sebulan.

“Kami juga telah mengambil kira pertumbuhan permintaan pada tahap tertentu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ST Siti Safinah Salleh dalam sesi taklimat bersama media hari ini.

ST turut memaklumkan pengguna domestik di bawah 1,000kWj serta pengguna bukan domestik voltan rendah yang menggunakan 200kWj ke bawah akan dikecualikan, bagi menggalakkan penggunaan elektrik secara cekap.

Suruhanjaya itu juga berkata, kerajaan telah bersetuju dengan kadar tarif khas untuk sektor pertanian, perkhidmatan air, pembetungan dan pengendalian rel.

“Institusi pengajian tinggi berdaftar, sekolah, rumah kebajikan dan rumah ibadat akan menerima rebat sebanyak 10%,” katanya.

Ketua isi rumah daripada golongan miskin tegar yang berdaftar dalam sistem e-Kasih pula akan terus menikmati rebat bulanan sehingga RM40.

“Secara keseluruhan, pendekatan ini bertujuan menggalakkan kecekapan tenaga dan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.

“Semua pengguna juga akan menerima bil elektrik dalam format yang lebih terperinci dan diperincikan,” menurutnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.