
Pengarah Urusan Nanostix Innovations Sdn Bhd, Shahabudeen Jalil, berkata majlis itu boleh diletakkan bawah pemantauan kerajaan dengan kerjasama agensi seperti Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta pihak berkuasa tempatan.
Katanya, dengan penubuhan majlis itu aspek kawal selia industri vape termasuk pengilangan, pengedaran, kawalan produk dan penguatkuasaan di lapangan dapat diselaraskan dengan lebih bersepadu dan menyeluruh.

“Penyalahgunaan dadah melalui peranti vape yang muncul kini menjadi satu cabaran baharu yang tidak boleh dipandang ringan.
“Sebagai syarikat tempatan berdaftar sejak 2019 dan mematuhi piawaian ketat kawal selia, Nanostix komited untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dalam membanteras penyalahgunaan ini.
“Gejala ini amat membimbangkan dan perlu ditangani secara menyeluruh dengan sokongan semua pihak,” katanya dalam kenyataan, mengulas kebimbangan dizahirkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim terhadap pembabitan anak Melayu dalam penyalahgunaan dadah dan vape.
Kelmarin, Anwar berkata isu itu memerlukan perhatian serius serta penyelesaian tuntas kerana ia melibatkan masa depan beliau negara.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap platform dalam talian yang membenarkan penjualan produk terlarang termasuk dadah dicampur dalam cecair vape.
Sementara itu, Shahabudeen sekali kali menggesa kerajaan mengharamkan sepenuhnya penjualan terbuka peranti vape serta cecair isian semula, dan hanya membenarkan peranti dikawal, dipantau dan berdaftar dijual di pasaran.
Beliau juga berharap penguatkuasaan di pintu sempadan negara ditingkatkan bagi mengekang penyeludupan cecair haram, selain menggesa pemantauan berkala di premis tempatan.
Selain langkah penguatkuasaan, beliau turut mencadangkan kerajaan melancarkan kempen kesedaran di sekolah berhubung bahaya penyalahgunaan dadah di dalam peranti vape.
“Pihak berkaitan wajar diberi mandat untuk menjalankan program pendidikan dan kesedaran kepada pelajar. Ia satu pelaburan jangka panjang dalam membentuk generasi bebas dadah,” katanya.