Najib dapat DNAA kes ubah wang haram dana SRC

Najib dapat DNAA kes ubah wang haram dana SRC

Hakim Mahkamah Tinggi K Muniandy membuat keputusan itu pagi ini.

najib razak
Bekas perdana menteri Najib Razak memohon tiga pertuduhan pengubahan wang haram, yang dikemukakan terhadapnya pada Februari 2019, digugurkan.
KUALA LUMPUR:
Bekas perdana menteri Najib Razak dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) dalam kes pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mahkamah Tinggi K Muniandy membuat keputusan itu pagi ini.

“Dalam kes ini, tiada apa-apa yang menunjukkan bahawa pihak pendakwaan mampu meneruskan kes buat masa ini, atau dalam tempoh masa munasabah.

“Oleh itu, adalah tidak mungkin kes ini dapat diteruskan dengan segera dalam masa terdekat.

“Timbalan pendakwa raya secara berhemah mempertimbangkan soalan yang dikemukakan oleh mahkamah sama ada pendakwaan akan terjejas sekiranya perintah DNAA seperti yang diminta oleh peguam tertuduh dibenarkan —dan beliau menjawab dengan jelas ‘tidak’.

“Oleh itu, keadaan kes ini lebih memihak kepada tertuduh memandangkan pihak pendakwaan sehingga hari ini masih belum bersedia untuk meneruskan perbicaraan terhadap pertuduhan yang dikenakan,” kata beliau dalam penghakiman ringkas.

Muniandy turut memaklumkan bahawa sejak enam tahun lalu, sejak kes difailkan terhadap Najib pada 2019, tiada sebarang keterangan saksi dikemukakan, sebaliknya hanya deretan penangguhan berlaku — menunjukkan bahawa pendakwaan masih belum bersedia untuk memulakan kes.

“Sebaik sahaja tertuduh didakwa di mahkamah, pertuduhan itu tidak boleh dibiarkan tergantung untuk tempoh yang tidak menentu atau tanpa had.

“Itu adalah sesuatu yang zalim dan tidak sah,” katanya.

Minggu lalu, peguam Najib, Shafee Abdullah, berhujah bahawa adalah tidak adil untuk anak guamnya menunggu tanpa tempoh masa yang jelas bagi tarikh perbicaraan, memandangkan pihak pendakwaan gagal memberikan garis masa untuk mengumpulkan barang kes yang digunakan dalam perbicaraan SRC sebelum ini.

Mahkamah dimaklumkan bahawa sebanyak 807 barang kes dikemukakan dalam perbicaraan terdahulu berkaitan SRC.

Najib, 71, memohon tiga pertuduhan pengubahan wang haram, yang dikemukakan terhadapnya pada Februari 2019, digugurkan.

Dalam kes berasingan yang bermula pada 3 April 2019, Najib didakwa atas tujuh pertuduhan penyalahgunaan kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah melibatkan RM42 juta dana SRC.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi mensabitkan beliau atas semua tujuh pertuduhan. Rayuannya terhadap sabitan dan hukuman ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Dis 2021, dan oleh Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022.

Bagaimanapun, pada Januari lalu Najib mendapat pengampunan di mana hukuman penjaranya dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, dan dendanya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.