Jurulatih sukan perlu jalani semakan latar belakang, kata Hannah

Jurulatih sukan perlu jalani semakan latar belakang, kata Hannah

Menteri Belia dan Sukan berkata kes serangan seksual baru-baru ini menekankan keperluan pelesenan jurulatih serta perlindungan terhadap atlet.

Hannah Yeoh
Hannah Yeoh berucap sebelum tayangan filem ‘Julie Keeps Quiet’ di Kuala Lumpur hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menggesa semakan latar belakang dan keperluan pelesenan diwajibkan ke atas jurulatih sukan susulan dua kes serangan seksual melibatkan atlet bawah umur, baru-baru ini.

“Adalah penting mewajibkan jurulatih memiliki lesen sah dan komited terhadap prinsip sukan selamat,” kata Yeoh dalam ucapan perasmiannya semasa tayangan filem ‘Julie Keeps Quiet’ yang mengangkat isu penderaan seksual dalam sukan.

“Kita juga perlu melaksanakan semakan latar belakang bagi memastikan jurulatih yang berlesen bebas daripada salah laku terdahulu dan layak bekerja dengan atlet muda,” tambahnya.

Kenyataan beliau hadir beberapa hari selepas dua jurulatih dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan berasingan berkaitan penderaan seksual.

Seorang jurulatih memanah dari Selangor semalam mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mencabul seorang remaja perempuan berusia 15 tahun.

Sementara itu, awal minggu ini, seorang jurulatih bola sepak dari Johor turut mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan mencabul dua anak didiknya yang masing-masing berusia 13 tahun.

Yeoh berkata kes itu menonjolkan keperluan melindungi atlet menerusi langkah perlindungan sistematik, bukan sekadar meningkatkan kesedaran.

Beliau memaklumkan sejak Kod Sukan Selamat diperkenalkan pada 2023, kementeriannya telah menerima 49 laporan salah laku, dengan 19 daripadanya melibatkan kakitangan di bawah Majlis Sukan Negara (MSN).

Seorang pegawai perlindungan dilantik bagi menasihati MSN tentang cara menangani kes-kes sedemikian, katanya.

“Kita berharap, sedikit demi sedikit, kita dapat membina persekitaran yang selamat untuk para atlet berkembang,” kata Yeoh.

Semasa tayangan filem itu, beberapa aktivis dan atlet turut menyeru kerajaan melangkah lebih jauh dengan menggubal Akta Sukan Selamat yang khusus.

Presiden Safe Sport Malaysia, Sarina Rajah, berkata kod sedia hanyalah garis panduan dan undang-undang baru diperlukan agar perlindungan atlet dapat dikuatkuasakan secara sah.

“Satu undang-undang diperlukan untuk memastikan penguatkuasaan, mewajibkan pendidikan, dan mewujudkan mekanisme perlindungan atlet tanpa mengira perubahan politik,” katanya.

Kapten pasukan bola sepak wanita bawah 19 tahun negara, Lauren Ruyi, turut berkongsi bagaimana budaya berdiam diri masih berleluasa dalam dunia sukan kerana takut dibalas dendam.

“Diam bukan bermaksud tiada apa untuk dikatakan; ia sering sarat dengan kata-kata yang tidak terluah,” katanya.

“Saya pernah lihat rakan-rakan saya enggan bersuara kerana takut kehilangan tempat dalam pasukan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.