Hanya 1% Akaun 2 KWSP bayar insurans kesihatan

Hanya 1% Akaun 2 KWSP bayar insurans kesihatan

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad juga menegaskan bahawa skim itu bersifat sukarela dan bukan wajib untuk semua ahli KWSP.

KWSP EPF
Kerajaan sedang pertimbang membenarkan pencarum menggunakan Akaun 2 KWSP untuk membayar premium bulanan insuran kesihatan.
PETALING JAYA:
Cadangan membenarkan Akaun 2 KWSP untuk membiayai premium bulanan insuran kesihatan hanya melibatkan 1% daripada simpanan dan dilaksanakan secara sukarela, kata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.

Dzulkefly dalam satu hantaran di Facebook menegaskan bahawa pelaksanaan skim itu adalah bersifat sukarela dan bukan wajib untuk semua ahli KWSP.

“Dengan pendekatan ini, kerajaan berhasrat memperluas akses kepada penjagaan kesihatan swasta yang lebih cepat dan berkualiti tanpa menambah beban kewangan rakyat.

“Hanya sekitar 1% daripada Akaun Dua KWSP digunakan untuk bayar insurans. Ini cara yang paling baik,” katanya.

Dzulkefly berkata cadangan itu juga mengambil inspirasi daripada model negara seperti Singapura, yang mengutamakan akses insurans untuk majoriti rakyat.

Semalam, Dzulkefly berkata kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan itu, yang dijangka memberi manfaat kepada 16 juta pencarum KWSP.

Beliau berkata 32% daripada kos penjagaan kesihatan di Malaysia ketika ini ditanggung sendiri oleh pesakit tanpa perlindungan insurans.

Ketika ini, simpanan dalam Akaun 2 KWSP boleh digunakan untuk tujuan pendidikan, kesihatan, perumahan serta pengeluaran pada usia 50 tahun.

Bagi pengeluaran kesihatan, ia terhad kepada kos rawatan penyakit tertentu, pembelian peralatan perubatan, dan rawatan kesuburan yang diluluskan oleh KWSP.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.