
AGC dalam kenyataan menegaskan pihaknya sentiasa mengekalkan tahap dan kualiti selaras dengan jangkaan rakyat.
“Dakwaan pihak tertentu yang jabatan ini menjalankan ‘pendakwaan cacat’ adalah tidak berasas sama sekali,” katanya.
Hakim Mahkamah Tinggi K Muniandy membuat keputusan membenarkan permohonan Najib minggu lalu untuk mendapatkan DNAA selepas mendapati tempoh masa yang tidak menentu dan tidak pasti menyebabkannya terpaksa berdepan pertuduhan tanpa sebarang penyelesaian.
Muniandy berkata, ia menyebabkan penantian panjang untuk perbicaraan yang menjadi beban berlarutan kepada tertuduh, sekali gus menafikan hak beliau mendapatkan penyelesaian sewajarnya dan tepat pada masanya.
AGC turut menjelaskan perbicaraan kes didaftarkan di Mahkamah Tinggi pada 7 Feb 2019 itu telah ditetapkan sebanyak lima kali pada Jun 2020, Julai hingga Ogos 2021, Mac hingga April 2022, September 2024 serta bulan April dan Mei 2025.
Namun jelasnya kesemua tarikh perbicaraan kes telah ditangguhkan susulan PKP kerana Covid-19, permohonan peguambela tertuduh dan pendakwaan.
Menurutnya, pendakwaan memohon penangguhan kerana prosiding perbicaraan kes SRC pertama masih berjalan pada masa itu di peringkat Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan sehingga selesai sepenuhnya pada 31 Mac 2023.
“Dalam masa sama prosiding perbicaraan kes 1MDB juga telah bermula ketika kes SRC pertama masih belum selesai. Kedua-dua kes di atas melibatkan pemakaian sebahagian dokumen material yang akan digunakan dalam perbicaraan kes SRC kedua.
“Memandangkan dokumen berkenaan adalah material untuk perbicaraan kes SRC kedua, pihak pendakwaan tiada pilihan lain kecuali terpaksa menunggu sehingga dokumen material berkenaan diperolehi iaitu sehingga prosiding perbicaraan kes 1MDB selesai,” katanya.
AGC turut menekankan dokumen material itu telah tersedia namun sedang digunakan sebagai keterangan dalam perbicaraan 1MDB yang masih sedang dibicarakan.
“Pihak pendakwaan telah memohon diberikan masa supaya dapat mengumpulkan kesemua dokumen material berkenaan untuk dikemukakan sebagai bukti dan keterangan dalam perbicaraan kes SRC kedua.
“Kelewatan ini bukan disengajakan tetapi untuk memastikan integriti dokumen sebagai keterangan dalam perbicaraan sentiasa terpelihara,” katanya sambil menjelaskan jabatan itu akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi.
Katanya, AGC akan meneliti dan mempertimbangkan semua aspek sebelum mengambil sebarang tindakan selanjutnya.
Pada 3 Februari 2019, Najib mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta, yang digunakan untuk aktiviti tidak mengikut undang-undang, dalam tiga akaun AmPrivate Banking milik beliau.
Bekas perdana menteri itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan, pada 8 Julai 2014.
Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 itu membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.