Asean di landasan capai matlamat tenaga bersih, kata timbalan KSU Petra

Asean di landasan capai matlamat tenaga bersih, kata timbalan KSU Petra

Mareena Mahpudz berkata Asean giat meningkatkan usaha galak penggunaan tenaga boleh baharu dan teknologi bersih.

Mareena Mahpudz
Mareena Mahpudz berkata beberapa negara Asean sasar mencapai pelepasan sifar bersih antara 2050 dan 2065.
KUCHING:
Asean di landasan betul mencapai matlamat iklim dan tenaga bersihnya, kata seorang pegawai kanan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra).

Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga) Petra, Mareena Mahpudz, berkata rantau ini sudah mencapai kemajuan ketara, khasnya dalam sektor tenaga di mana negara anggota berusaha ke arah sasaran sifar bersih mereka.

Menurutnya, beberapa negara Asean seperti Malaysia dan Singapura menyasarkan untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050, manakala Indonesia serta Thailand masing-masing menetapkan sasaran pada 2060 dan 2065.

“Bahkan sekarang, Malaysia sudah mencapai sasarannya untuk tahun ini. Kita sepatutnya mencapai 31% menjelang akhir tahun, tetapi kini sudah hampir 32%,” kata Mareena kepada FMT merujuk bahagian tenaga boleh baharu dalam kapasiti terpasang Malaysia.

Di peringkat serantau, Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga Asean (APAEC) menetapkan matlamat jangka panjang untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050, dengan tumpuan bagi mengembangkan tenaga boleh baharu dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.

Asean komited mencapai 23% bahagian tenaga boleh baharu dalam keseluruhan campuran tenaga utamanya menjelang tahun ini.

Walaupun angka semasa sekitar 14.4%, Mareena berkata, usaha sedang ditingkatkan di seluruh rantau untuk merapatkan jurang itu – melalui pelaburan lebih besar dalam tenaga boleh baharu, peningkatan kecekapan tenaga dan penggunaan teknologi bersih.

Dorongan serantau ini diperkukuh pada Mesyuarat Pegawai Kanan Asean mengenai Tenaga ke-43 dari 16 hingga 18 Jun lalu, yang meletakkan asas untuk fasa dua pelan hala tuju APAEC.

Mareena turut menekankan pelancaran Kemudahan Pembiayaan Grid Tenaga Asean (APG) di bawah kepengerusian Malaysia, platform bagi menggerakkan pembiayaan untuk projek tenaga rentas sempadan dan mempercepatkan peralihan tenaga bersih di rantau ini.

“Ia kerjasama antara institusi kewangan, sektor ekonomi dan tenaga. Ia boleh membantu menarik lebih ramai pelabur ke rantau ini dan menyokong industri tempatan.”

Beliau berkata, kemudahan itu mendapat sokongan Bank Negara Malaysia, Bank Pembangunan Asia dan Bank Dunia.

Katanya, Suruhanjaya Eropah, Bank Kerjasama Antarabangsa Jepun, Bank Pembangunan Islam dan beberapa bank China turut menyuarakan minat mereka.

Mareena berkata, Asean sedang berusaha mengukuhkan infrastruktur tenaga bersih di rantau ini – termasuk pembuatan panel solar dan penyimpanan bateri – untuk memenuhi permintaan semakin meningkat serta membina ekonomi hijau lebih berdikari.

“Ia mencabar, tetapi saya percaya ia akan sangat berjaya kelak dan kami boleh mencapai sasaran ditetapkan untuk rantau ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.