Vape: Ketua Pemuda Umno mohon PMX lihat kembali GEG

Vape: Ketua Pemuda Umno mohon PMX lihat kembali GEG

Penjualan vape semakin berleluasa akibat tiada akta yang boleh mengawalnya, kata Dr Akmal Saleh.

akmal saleh
Pemuda Umno konsisten untuk bawa cadangan ‘generasi penamat rokok’ untuk kawal ketagihan vape, kata ketuanya, Dr Akmal Saleh. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ketua Pemuda Umno mohon Perdana Menteri Anwar Ibrahim lihat kembali cadangan ‘generasi penamat rokok’ berikutan kebimbangan mengenai penggunaan rokok elektronik dalam kalangan anak muda.

Dr Akmal Saleh kata penjualan vape semakin berleluasa akibat tiada akta yang boleh mengawalnya.

“Sebab itu dari dahulu kita konsisten untuk bawa ‘generational end game’ untuk memastikan generasi mendatang ini dapat dikawal ketagihan dadah dan vape,” menurut kenyataan di Facebook.

Peruntukan ‘generasi penamat rokok’ yang bertujuan melarang individu dilahirkan selepas 2007 memiliki, membeli, mahupun merokok termasuk penggunaan vape digugurkan daripada Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 susulan beberapa pindaan.

Pada Nov 2023, menteri kesihatan ketika itu Dr Zaliha Mustafa beritahu Dewan Rakyat bahawa terdapat isu ketidaksamarataan dan diskriminasi kedudukan undang-undang dalam peruntukan GEG, dengan memberi layanan yang berbeza terhadap seseorang yang lahir sebelum 1 Jan 2007 berbanding layanan terhadap orang yang lahir pada atau selepas 1 Jan 2007.

Bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin, yang menggubal peruntukan tersebut, dilapor amat sedih dan berkata peluang untuk meluluskan undang-undang yang penting untuk kesihatan awam sudah terlepas.

RUU tersebut diluluskan oleh Dewan Negara pada Dis 2023.

Dalam pada itu, Akmal turut sentuh langkah Kementerian Kesihatan (KKM) mengecualikan nikotin termasuk tembakau, tampalan dan gula-gula getah, cecair dan gel nikotin daripada Akta Racun.

Sebelum ini, nikotin, dengan pengecualian kepada tembakau, diklasifikasikan sebagai racun Kumpulan C yang hanya boleh dijual doktor dan ahli farmasi.

“Sayangnya GEG ini tidak dibawa dan diluluskan di Dewan Rakyat, malah kerajaan melalui KKM telah mengeluarkan vape dari Akta Racun dan menyebabkan penjualan vape semakin berleluasa akibat tiada akta yang boleh mengawalnya,” katanya.

Akmal mengulas video perdana menteri menggesa semua pihak mengambil langkah segera menyelesaikan isu dadah dan penggunan vape dalam kalangan anak muda.

Sebelum ini, polis menyarankan kerajaan negeri mengenakan larangan tertentu berkenaan penjualan rokok elektronik sementara menunggu kerajaan persekutuan menggubal undang-undang baharu.

Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kes penyalahgunaan dadah sintetik menggunakan rokok elektronik semakin membimbangkan, kerana turut membabitkan pelajar sekolah.

Penjualan vape kini dilarang di Perlis, Johor, Kelantan, Terengganu, dan Pahang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.