
Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang, berkata isu berkait rentas kaum dan agama tidak boleh ditangani secara bersendirian oleh kerajaan.
“Kita mungkin tidak memegang senjata seperti anggota keselamatan, namun kita mempunyai kuasa sivil iaitu kuasa untuk membuat pilihan bijak dan menolak kebencian dan menanam benih keamanan,” katanya ketika merasmikan Rapat Umum Keselamatan dan Perpaduan Negara 2025 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Menurut Aaron, bagi memastikan usaha itu berhasil, semua pihak termasuk pemimpin politik perlu menunjukkan teladan baik dalam tutur kata dan tindakan, serta meletakkan kepentingan negara melebihi agenda peribadi atau kepartian.
Selain itu, sistem pendidikan disaran lebih menekankan nilai harmoni, empati, dan pemahaman silang budaya sejak dari peringkat awal.
Katanya, ibu bapa juga diseru memainkan peranan dalam menyemai nilai hormat, kasih sayang dalam kalangan anak-anak kerana perpaduan sejati bermula daripada institusi keluarga.
Aaron berkata, pihak media pula diingatkan agar berperanan sebagai ejen penyatu dan bukannya menyebarkan kebencian atau membangkitkan sentimen negatif.
“Ingin saya tegaskan bahawa keselamatan dan perpaduan negara bukan hanya tanggungjawab tentera, polis atau kerajaan semata-mata. la adalah amanah bersama tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya.