Pemandu e-hailing diseru manfaat pelbagai platform

Pemandu e-hailing diseru manfaat pelbagai platform

Menurut Presiden TPAD M Nathan, sebahagian pemandu tidak yakin mencuba platform baharu yang mungkin lebih menguntungkan.

Perkhidmatan e-hailing ubah landskap pengangkutan negara dengan begitu ketara, menawarkan pengguna alternatif kepada teksi dan pengangkutan awam lain. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kumpulan kebajikan pemandu e-hailing menyeru pekerja gig memanfaatkan pelbagai platform bagi meraih ‘pulangan adil’, sementara libat urus diadakan dengan pihak berkuasa dan syarikat penyedia.

Presiden Persatuan Transformasi Pengangkutan Awam Darat (TPAD) berkata banyak platform e-hailing baharu kini menawarkan kadar potongan komisen lebih rendah berbanding syarikat dominan yang memotong sehingga 20% dalam industri ini, dan fleksibiliti lebih tinggi.

Presiden TPAD M Nathan.

Menurut M Nathan, sebahagian pemandu tidak sedar atau tidak yakin untuk mencuba platform baharu walaupun ia mungkin lebih menguntungkan dari segi komisen dan insentif, dengan strategi atau pendekatan memandu yang baharu.

“Jangan terus bergantung pada satu syarikat. Kalau tempat itu tak jaga kebajikan, carilah alternatif. Kita tak boleh biar diri terikat pada satu sistem yang berat sebelah,” katanya kepada FMT.

Nathan berkata antara perkara yang perlu diperhatikan apabila menilai platform adalah kadar komisen dikenakan syarikat yang lazimnya 20% daripada tambang yang diperoleh pemandu, sokongan teknikal yang responsif, dan insentif tambahan untuk pemandu aktif.

Turut diperhatikan ciri-ciri lain seperti sistem ‘auto-accept’, iaitu pemandu akan secara automatik menerima tempahan. “Kalau kita tolak tugasan ‘auto-accept’ itu, sistem akan menghentikan sementara tugas serta menggantung akaun yang merugikan.”

Perkhidmatan e-hailing mengubah landskap pengangkutan negara dengan begitu ketara, menawarkan pengguna alternatif kepada teksi dan pengangkutan awam lain, terutama di kawasan bandar.

Nathan berkata, antara platform e-hailing yang kini aktif di Malaysia termasuk Grab, inDrive, AirAsia Ride, Maxim, MyCar, GVRide, MyRide dan Bolt.

Beliau menarik perhatian kepada beberapa kelebihan yang dinikmati pemandu teksi, antaranya potongan komisen 10% dan kebebasan memilih pelanggan.

“Kita tak boleh fikir jenama besar saja. Yang penting, kita sebagai pemandu dapat pulangan adil,” katanya.

TPAD ditubuhkan sejak tahun lepas dengan fokus pada kebajikan pemandu seluruh industri Pengangkutan. Menurut Nathan, pihaknya mahu membincangkan beberapa isu dengan pihak berkuasa, antaranya sistem ‘auto-accept’ dan perkara lain yang didakwa menghadkan fleksibiliti pemandu.

“TPAD juga mahu pihak berkaitan kaji semula struktur tambang yang rendah, terutama pada waktu puncak, dan turunkan kadar potongan komisen daripada 20% ,” katanya.

Pada himpunan aman pada 1 Mei lalu, beberapa kumpulan pekerja e-hailing mengulangi tuntutan agar kerajaan menetapkan harga tambang lantai kepada RM8, setimpal dengan kos sara hidup yang meningkat.

Mereka juga sedang menunggu Rang Undang-undang (RUU) Pekerja Gig dibentangkan di Parlimen pada sidang akan datang.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim dilapor berkata RUU itu mengandungi empat perkara asas iaitu aspek perlindungan sosial dan kewangan, mekanisme penyelesaian pertikaian, struktur pendapatan adil serta keselamatan dan kesihatan pekerja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.